Sah rakyat Malaysia terbunuh dalam pertempuran di selatan Mindanao

0
63



MASJID TANAH: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan dua rakyat Malaysia yang dipercayai menganggotai kumpulan militan Daish terbunuh dalam pertempuran dengan askar Filipina di wilayah selatan Mindanao, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, walau bagaimanpun, kenyataan penuh berkenaan kedua-dua mereka yang terbunuh akan diumumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas siasatan terperinci selesai.

Ujar Ahmad Zahid pihaknya telah mengarahkan perairan di Sabah dikawal ketat bagi mengelak kawasan berkenaan menjadi tempat penyembunyian diri mereka yang disyaki terbabit dengan kumpulan militan Daish.

Katanya, pasukan keselamatan diarah menggerakkan segala aset dan maklumat risikan yang ada bagi memastikan Sabah selamat sebelum mengambil tindakan yang selanjutnya.

“Saya ingin mengesahkan bahawa dua rakyat Malaysia memang terbunuh. Saya telah berbincang dengan KPN, kita sedang meneliti butiran sepenuhnya walaupun kita telah kenal nama dan asal (mereka) dari mana.

“Bukit Aman akan mengeluarkan kenyataan penuh butiran dan siasatan terperinci. Walau bagaimanapun, kita ingin mengucap terima kasih kepada kerajaan Filipina terutamanya kepada pasukan polis dan tenteranya yang telah melaksanakan semua operasi dalam perjaniian tiga pihak antara Filipina, Indonesia dan Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Masjid Salmah Khamis, Empang Batu, Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, yang disempurnakan oleh yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, dalam usaha memerangi keganasan di negara ini, KDN melalui Counter Messaging Centre (CMC) yang dikendalikan oleh Unit Anti Keganasan akan terus memburu dan mengenalpasti mereka yang terlibat dengan kumpulan-kumpulan militan daripada maklumat risikan yang dijalankan.

Hari ini, media melaporkan dua militan rakyat Malaysia dipercayai adalah antara yang terbunuh dalam pertempuran di Marawi, Mindanao, Filipina, semalam.

Menurut laporan itu, seorang warga Indonesia dan warga Arab Saudi turut terbunuh dalam pertempuran tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here