Salah tadbir lain terabai kerana fokus melampau 1MDB

0
57



Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, skandal 1MDB mendominasi berita bukan saja di dalam, malah di luar negara.

Namun bagi pakar ekonomi Dr Jomo K Sundaram, ada aspek lain yang perlu diberi perhatian di sebalik tumpuan pada isu syarikat pelaburan milik negara itu.

Kata Jomo, perhatian yang keterlaluan pada 1MDB membuka ruang kepada isu besar lain untuk tidak dipedulikan sangat.

Sebagai contoh, kata bekas penolong setiausaha agung PBB untuk hal ehwal pembangunan ekonomi itu, kejatuhan harga saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

“Peneroka Felda digalakkan membeli saham dalam syarikat dinamakan FGV ini. Mereka mengeluarkan wang untuknya dan sekarang nilai saham itu lebih sedikit saja daripada apa yang mereka bayar dulu.

“Mereka diperdaya. Dengan pilihan raya semakin hampir mereka diberi jaminan semula bahawa mereka tidak akan hilang wang dan sebagainya, tapi jelas ini adalah salah satu contoh salah laku.

“Sama ada anda menggelarnya rasuah atau bukan, kita kaji kemudian,” katanya pada suatu forum di Petaling Jaya malam tadi.

Beliau yang kini menduduki Kerusi Tun Hussein Onn di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia bercakap di majlis forum “Reformasi Daftarr Pilihan Raya Sebelum PU14” dianjurkan BERSIH di pejabat Malaysiakini.

Sebagai seorang daripada panel forum, Jomo ditanya pandangannya mengenai keadaan rasuah di Malaysia.

Kata Jomo, jika dalam keadaan seluruh sistem sudah dianggap korup, apa yang sah atau halal tidak semestinya bebas daripada rasuah sebaliknya alaman yang diterima umum.

“Jadi garis pemisah untuk anda menentukan sesuatu itu korup atau tidak sangat sukar untuk ditentukan kerana ia (sesuatu amalan itu) mungkin diterima secara sempurna mengikut undang-undang.

“Bekas presiden Afrika Selatan, Thabo Mbeki – sebagai contoh – menerbitkan satu laporan tiga tahun lalu mengenai aliran dana haram.

“Haram tidak semestinya bermakna ia melanggar undang-undang tetapi sesuatu yang berada di luar penerimaan masyarakat,” katanya.

[Baca berita penuh]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here