Salamiah masak sendiri

0
53



Pada usia 66 tahun, penyanyi berpengalaman Salamiah Hassan masih kelihatan sihat dan cergas bertenaga.

Salamiah yang pernah popular dengan lagu Gelombang akui mengamalkan pemakanan sihat.

Ibu kepada penyanyi Atilia Haron ini berkata, sejak dulu lagi dia tidak pernah sentuh makanan ringan sebaliknya suka masak sendiri.

“Saya suka masak sendiri. Jadi, setiap hari saya pastikan memasak hidangan sihat untuk menjamu selera. Kebiasaannya saya masak hidangan ringkas saja seperti tumis air yang tidak banyak menggunakan minyak,” katanya.

Salamiah yang tinggal sendirian selepas kedua-dua anaknya mendirikan rumah tangga berkata, masak sendiri juga menjimatkan perbelanjaan.

“Apabila memasak di rumah, saya puas kerana ramuan dan rencah digunakan hasil air tangan sendiri. Begitu juga resipi disediakan. Selalunya hidangan dimasak pasti ikut selera saya pada hari itu,” katanya.

Mengenai hidangan kegemarannya, Salamiah berkata, dia suka makan daging yang dihiris nipis. Selain itu, dia juga suka makanan yang dimasak dengan bawang putih, lada hitam dan halia.

“Bawang putih mampu elak kolesterol, halia pula untuk buang angin dan lada hitam boleh panaskan badan. Bukan itu saja, kalau memasak perlu gunakan kunyit, saya lebih memilih kunyit hidup berbanding serbuk,” katanya.

Salamiah juga memberitahu dia akan lebih berselera makan masakan sendiri daripada membeli di kedai.

Mengenai senaman, Salamiah juga selalu meluangkan masa untuk aktiviti jalan kaki. Katanya, dia memang sangat suka berjalan kaki.

“Apabila melakukan aktiviti ini (jalan kaki) saya dapat rasakan diri lebih sihat dan bertenaga. Pada usia sudah meningkat begini, aktiviti jalan kaki sebenarnya senaman yang baik untuk diamalkan,” katanya.

Bagi penjagaan kulit wajah pula, wanita kelahiran ibu kota ini memaklumkan dia perlu ke klinik kulit.

“Saya akan mendapatkan rawatan muka di klinik kulit sekali dalam sebulan kerana berdepan kulit bermasalah. Biasalah apabila membabitkan faktor usia, banyak benda sudah berubah termasuk kulit juga perlukan rawatan.

“Saya mula luangkan masa berkunjung ke klinik kulit untuk menerima rawatan sejak berusia 47 tahun,” katanya.

Salamiah berkata, sebagai penyanyi yang masih menerima undangan persembahan, penting untuknya utamakan penjagaan kulit wajah.

Masih memiliki vokal mantap, Salamiah juga ditanya mengenai petua penjagaan suara yang diamalkan.

“Untuk vokal, saya sebenarnya tiada sebarang petua diamalkan. Saya boleh saja makan hidangan pedas. Apatah lagi saya memang kuat makan pedas. Lagi pedas makanan itu, lagi saya berselera walaupun peluh menitis-nitis keluar,” katanya.

Salamiah yang memiliki aura tersendiri dalam fesyen berkata, dia gemarkan gaya ringkas dan sederhana.

“Saya tidak cerewet dalam memilih pakaian tetapi saya utamakan ketelitian sebelum membuat keputusan. Dalam soal ini, saya akan memilih pakaian yang selesa digayakan dan sesuai dengan usia. Saya suka fesyen sederhana dan ringkas,” katanya.

Salamiah berkata, sebagai wanita sudah meningkat usia, dia akan pastikan pakaian dipilih memang sesuai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here