Saleem dirawat kerana demam panas

0
39


SALEEM dimasukkan ke Pusat Pakar UKM sejak semalam akibat demam panas.

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Iklim, Saleem dimasukkan ke Pusat Pakar UKM, Cheras kerana demam panas sejak seminggu lalu.

Menurut isterinya, Juriah atau Julia Bachok, penyanyi terbabit menerima rawatan di pusat perubatan berkenaan sejak semalam.

Saleem atau nama sebenarnya A M Salim Abdul Majeed, 55, dikejarkan ke hospital selepas berasa terlalu lemah akibat demam panas yang dialami.

“Abang Saleem mengalami demam panas yang kerap sejak kebelakangan ini. Buat masa sekarang, punca sebenar penyakitnya belum dikenal pasti.

“Dia juga mengalami bengkak pada bahagian testis dan sepatutnya menjalani pembedahan, esok. Namun, semua itu bergantung pada tahap kesihatannya,” katanya.

Menurut Julia, keadaan kesihatan suaminya masih baik ketika meraikan Aidilfitri di Benut, Pontian, baru baru ini.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Suci Dalam Debu itu mula mengalami demam panas selepas menjayakan persembahan di Bukit Aman, di sini, pada hari raya ketiga.

“Abang Saleem mengadu penat dan saya segera membawanya ke Pusat Pakar UKM untuk pemeriksaan.

“Demamnya masih tak kebah manakala jantungnya juga lemah. Doktor memberi bantuan oksigen bagi membantu pernafasannya. Sekiranya keadaan tidak berubah, pembedahan akan ditangguhkan,” katanya.

Kata Julia, melihatkan keadaan Saleem sekarang, dia berkemungkinan terpaksa menolak beberapa tawaran persembahan.

“Sepatutnya dia akan membuat persembahan di Terengganu dalam masa terdekat ini, tetapi saya kenalah tolak secara baik,” katanya.

Julia juga amat berterima kasih kepada Harry Khalifah dan Ameng Spring yang cukup prihatin dengan apa yang dilalui suaminya ketika ini.

Syarikat rakaman Rusa Music turut menguruskan kemasukan suaminya ke situ.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here