'Saleem masih bernyawa, tak tenat macam digambarkan'

0
23


JULIA sentiasa di sisi Saleem sejak dimasukkan ke PPUKM, minggu lalu.

KUALA LUMPUR: Keadaan penyanyi Saleem yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini, dilaporkan semakin stabil.

Sehubungan itu, dakwaan kononnya penyanyi Suci Dalam Debu berusia 55 tahun itu sudah menghembuskan nafas terakhir yang tersebar luas sejak beberapa hari lalu adalah tidak benar.

Isterinya, Julia Bachok, 53, kesal dengan berita yang tersebar sedangkan suaminya masih bernyawa.

“Saya sedih, marah dan geram. Saya mahu cari penyebar fitnah tetapi buat masa ini, keadaan belum mengizinkan. Saya tiada masa memikirkan cakap-cakap orang, fokus saya kepada keadaan kesihatan suami.

“Keluarga kami marah dengan berita tersebar. Saya bersama suami, saya tahu keadaannya tidaklah tenat seperti disebarkan,” katanya ketika ditemui BH Online di PPUKM, hari ini.

Julia yang juga pengurus Saleem berkata, ia bermula dengan ketumbuhan pada bahagian testis yang menyebabkan suaminya mengalami demam panas tidak menentu sepanjang Ramadan.

“Kuman ketumbuhan merebak ke bahagian paru-paru dan saluran darah menyebabkan demam panas semakin teruk.

“Pada hari raya keempat, Saleem meminta saya menghantarnya ke hospital. Dia sebelum ini liat mahu ke hospital atau makan ubat, tapi kali ini dia menyerah diri.

“Selepas lima hari di bawah jagaan pakar PPUKM, keadaanya semakin stabil. Jika semalam bercakap pun tidak mahu tetapi hari ini, dia sudah boleh ketawa dan berlawak.

“Dia tidak demam lagi, kemungkinan selepas kesihatannya stabil, doktor akan melakukan pembedahan membuang ketumbuhan beberapa hari lagi,” katanya.

Turut melawat Saleem hari ini adalah Presiden Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez; Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin serta penyanyi, Rahmat Mega dan Dwen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here