Samantha gementar jadi 'girlfriend' Fattah Amin

0
21

PESERTA Miss Universe 2017, Samantha Katie James akui gementar saat digandingkan dengan aktor Fattah Amin di dalam filem televisyen (FTV), Wanita Terindah.
 
Sebagai pelakon baharu Samantha, 22, yang tular dengan gaun Nasi Lemak Daun Pisang itu berkata dia bertuah dapat berlakon dengan pelakon berbakat seperti Fattah.
 
“Pada mulanya agak gementar juga bila digandingkan dengan Fattah sebagai kekasihnya di dalam Wanita Terindah ini.
 
“Cara dia berlakon sangat hebat dan santai berbanding saya yang baharu dalam industri ini.
 
“Pun begitu, Fattah sangat membantu dan saya seronok diberi peluang untuk berlakon dalam FTV ini.
 
“Sebenarnya saya tidak fasih berbahasa Melayu tetapi saya cabar diri saya untuk melakonkannya dengan baik,” katanya kepada Astro Gempak.
 
Meskipun lakonan merupakan bidang baharu, namun Samantha berharap dapat bergiat aktif sebagai pelakon dan menyasarkan untuk mengembangkan karier lakonan di Hollywood.
 
“Wanita Terindah sebenarnya filem ketiga lakonan saya selepas filem Indonesia, Kastil Tua dan sebuah filem berbahasa Mandarin untuk pasaran negara China.
 
“Saya suka cuba sesuatu yang baharu dan pengalaman berlakon dalam FTV ini adalah pengalaman yang baik untuk saya kembangkan lagi bakat dan nama saya,” katanya lagi.
 
Selain Samantha dan Fattah, Wanita Terindah turut membariskan pelakon seperti Fazura, Sarah Hildebrand, Liza Othman, Adam Mika dan Ridzuan Hashim.
 
Wanita Terindah merupakan supertelefilem yang ditayangkan menerusi saluran Astro First Eksklusif (saluran 480) sejak 2 November lalu.
 
Teks oleh: Syafiqah Jalal
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here