Samsung Galaxy S8 menyengat

0
202



Ramai yang memperkatakan mengenai Samsung Galaxy S8 yang baru saja dilancarkan malah tidak lama lagi, individu menempahnya secara online akan memperolehnya.

Jika anda rasa bajet yang ada cukup dan mampu, teruskan sajalah niat membeli berdasarkan pengalaman penguji sendiri.

Paling padu, semestinya paparan skrin yang memanjang menyaksikannya berformat 18.5:9 pada saiz 5.8 inci. Tujuan skrin memanjang yang sangat ketara adalah keupayaan membaca seperti Facebook tanpa perlu lebih skrol pada telefon.

Kemudian, jika anda melintangkan telefon ini, anda boleh mendapatkan paparan lebih baik berbanding format 16:9 tapi pada mod ‘default’ anda perlu menekan ikon besarkan imej yang terpampang di skrin misalnya untuk tontonan YouTube.

Di samping paparan yang dinamakan Infinity Display, anda sudah semestinya berupaya menonton atau melihat skrin pada warna bertepatan dan lebih cantik.

Berbeza dengan S7 dan S7 edge sebelum ini, Galaxy S8 sudah siap mempunyai lengkung di sisi dan mengekalkan fungsi ikon tepi yang boleh ditetapkan pengguna sendiri.

Kepada pengguna yang tidak pernah memiliki atau memegang mana-mana telefon Note atau Edge (namun teringin memperolehnya) sebelum ini, kini adalah masa sesuai untuk kali pertama melakukan pembelian produk Samsung dan merasai pengalaman lengkung terbabit.

Sehingga anda sendiri memegangnya, sukar digambarkan perasaan membelek S8 yang direka kemas dan mewah ini.

Penguji tertarik dengan Bixby. Ia jawapan Samsung kepada Siri (Apple), Alexa (Amazon) dan Google Assistant.

Ia bukan lagi soal arahan suara semata-mata. Ciri tiga dalam satu membolehkan anda mengakses dan navigasi pelbagai perkhidmatan dan aplikasi dengan arahan suara, sentuh dan teks.

Buat pertama kali, Samsung memperkenalkan ciri kecerdasan pintar (AI) Bixby yang masih baru dan di peringkat awal sebelum mampu berkomunikasi dengan cemerlang.

Fungsi arahan suara Bixby akan disepadukan dengan aplikasi natif seperti kamera, hubungan, galeri, mesej dan tetapan.

Bixby akan mempelajari tabiat pengguna dan beroperasi pantas menyediakan maklumat yang diinginkan tersedia dipampang.

Misalnya, penulis cuba menghalakan S8 ke kerusi dan Bixby pantas membacanya sebelum memaparkan maklumat kedai yang menjual kerusi terbabit. Tanpa perlu menekan butang lain pula, pengguna boleh mengarahkan Bixby mencari maklumat lain dengan arahan suara.

Namun, Bixby belum diguna pakai secara menyeluruh dan kita mungkin perlu menunggu beberapa bulan bagi mendapatkan Bixby lebih baik.

S8 mempunyai kelajuan pemprosesan octa core (2.3GHz Quad + 1.7GHz Quad), 64-bit dan 10nm untuk pasaran Malaysia dengan sudah pasti Exynos menjadi pilihan dan ia sudah cukup mengujakan yang membolehkan beberapa aplikasi sosial atau game dibuka atau dimainkan tanpa masalah ‘lag’.

Manisnya, ia telefon dengan cip 10nm pertama di dunia. Pemprosesan terbabit juga dibantu RAM 4GB jenis LPDDR4. Selain itu, ia datang dengan storan 64GB dan jika anda masih tidak berpuas hati dengan storan yang ada, tambahnya melalui kad microSD sehingga 256GB.

Bagi kamera, keupayaannya bergantung kepada kamera Dual Pixel 12MP OIS (f1.7) dan kamera depan 8MP AF (f1.7).

Pemprosesan imej baru juga diperkenalkan dengan harapan memantaskan proses merakam foto dan mengekalkan keupayaan Samsung merakam imej yang cantik.

Untuk ketahanan bateri pula, ada yang perlu dikemas kini bertepatan dengan penggunaan telefon terbabit.

Jika mahu reviu yang lebih terperinci, anda boleh layari www.hmetro.com.my/itmetro.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here