Sanchez sudah buat terbaik!

0
40
Advertisement



LONDON: Jose Mourinho mempertahankan tindakan Alexis Sanchez selepas penyerang bintangnya itu gagal menyembunyikan kekecewaan susulan kekalahan besar Manchester United kepada Liverpool.

United tewas 1-4 kepada seteru Liga Perdana Inggeris itu dalam aksi pramusim Piala Juara Antarabangsa, kelmarin yang menyaksikan Red Devils masih belum meraih sebarang kemenangan pada aksi 90 minit jelajah di Amerika Syarikat.

Sanchez antara pemain senior yang beraksi bersama United dengan deretan pemain bintang kelab itu masih lagi bercuti selepas mengharungi kempen Piala Dunia di Russia antaranya Paul Pogba, Romelu Lukaku dan Marcus Rashford.

Sambil berharap dua lagi pemain dapat menyertai skuad kendaliannya sebelum jendela perpindahan berakhir pada 9 Ogos ini, Mourinho berkata, kekecewaan pemain kebangsaan Chile itu selepas dimalukan Liverpool boleh difahami.

“Anda mahu dia gembira dengan pemain yang berada dengannya? Kami tidak bermain di sini untuk meningkatkan pasukan atau dinamik atau rutin. Kami hanya bermain di sini untuk cuba menyelamatkan diri dan cuba untuk memperoleh keputusan yang tidak begitu buruk,” kata pengurus dari Portugal itu.

“Alexis satu-satunya penyerang yang kami miliki. Kami tidak mempunyai pemain sayap, kami tidak mempunyai penyerang. Dia satu-satunya yang berada di sini dan kasihanilah dia kerana dia mencuba yang terbaik, kekecewaan seseorang yang mahukan sesuatu yang lebih.

“Menentang AC Milan dia bermain dengan baik dan dia sudah melakukan yang terbaik di sini.”

Selain Sanchez, United juga memiliki Anthony Martial yang tidak beraksi pada Piala Dunia tetapi penyerang Perancis itu tidak menyertai mereka di AS bagi menyambut kelahiran anaknya.

United akan menamatkan kempen pramusim di AS menentang Real Madrid, esok sebelum pulang ke Eropah bagi persiapan menghadapi perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris menentang Leicester City pada 10 Ogos.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here