Santai dengan zikrullah

0
47



Islam tidak melarang umatnya berhibur tetapi jangan sehingga melalaikan.

Salah satu usaha untuk mengembalikan kejayaan peradaban Islam ialah dengan mewujudkan semula pautan hati kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW melalui majlis zikrullah yang dilakukan dalam situasi santai serta menghiburkan.

Sehubungan itu, Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA) menganjurkan 1st World Sama’ Fest di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 28 Julai ini, jam 8 malam.

Penganjuran kali pertama itu mengikuti garis panduan syarak yang ketat.

Setiausaha Agung Pertama, Sheikh Abdul Kareem Said Khadaeid berkata, festival itu adalah sebahagian daripada komponen Haflah Zikir Perdana Sedunia 2017 yang bertujuan mengetengahkan hiburan dalam ketaatan dan pada masa sama untuk mencetuskan kebangkitan peradaban Islam.

“Sama’ yang berasal dari bahasa Arab bermaksud mendengar. Konsep festival ini terdiri daripada alunan bacaan al-Quran, salawat, qasidah, nasyid dan naat yang mengandungi nasihat agama dan pujian terhadap Allah dan Rasul-Nya.

“Festival itu akan turut mengumpulkan persembahan dari beberapa benua sebagai tanda perpaduan ummah dalam mencintai Allah dan Rasulullah bersesuaian dengan tema ‘Unity in Love’,” katanya.

Perjalanan festival itu bermula dengan alunan bacaan al-Quran dan menampilkan pelajar pintar dari Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka, pelakon Johan As’ari dengan kumpulan Suara Pertama, persembahan Raihan, Khalwati Ushaqqi (Turki), Nur Muhammad (Maghribi), Hassan Khurshid (Pakistan), Rabitah An Nur (Syria) dan Chicago Mawleed Committee (Amerika Syarikat).

Tarian Darwish dari Turki turut dipersembahkan dalam acara itu selain penampilan istimewa Datuk Nash Lefthanded dan Datuk Hattan.

Tiket untuk menyaksikan festival itu boleh dibeli melalui www.tickethotline.com.my pada harga RM89 hingga RM489.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here