Sarawak ambil alih kepentingan Shell dalam Malaysia LNG Tiga

0
451
Advertisement

KUCHING: Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak (SFS) mengambil alih 15 peratus kepentingan ekuiti dalam LNG Tiga Sdn Bhd (MLNG Tiga) daripada anak syarikat Royal Dutch Shell plc, Shell Gas Holdings (M) Ltd, menjadikan jumlah kepentingan pegangan dalam operator loji gas asli cecair (LNG) itu sebanyak 25 peratus.

Majlis menandatangani perjanjian pembelian saham itu berlangsung di sini hari ini, disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Setiausaha Kewangan Negeri Datuk Seri Ahmad Tarmizi Sulaiman, menandatangani perjanjian itu bagi pihak kerajaan Sarawak manakala Shell diwakili Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Iain Lo.

Pemegang saham lain dalam MLNG Tiga ialah Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dengan 60 peratus kepentingan ekuiti, Nippon Oil Finance (Belanda) B.V dengan 10 peratus, dan Diamond Gas (Netherland) B.V, anak syarikat Mitsubishi Corporation, sebanyak lima peratus.

Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG), anak syarikat Petronas, mengendalikan MLNG Tiga yang merupakan sebahagian daripada Kompleks LNG Petronas yang lebih besar di Bintulu.

Pada sidang akhbar selepas itu, Abang Johari berkata pengambilalihan terkini itu sejajar dengan usaha Sarawak untuk meningkatkan aliran pendapatannya.

“Sebagai sebahagian daripada keupayaan pengembangan pendapatan, kami baru-baru ini memperoleh 10 peratus kepentingan dalam LNG Train 9 dan hari ini kami mengambil alih 15 peratus kepentingan dalam MLNG Tiga yang dipegang oleh Shell sebagai tambahan 10 peratus ekuiti sedia ada.

“Menerusi pelaburan tambahan di MLNG Tiga selain pelaburan sedia ada di Kompleks LNG Bintulu, iaitu di MLNG, MLNG Dua dan Train 9, kami menjangkakan pulangan pelaburan yang sihat dan mampan,” kata Ketua Menteri.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah yang dibayar oleh SFS untuk menguasai kepentingan 15 peratus dalam MLNG Tiga.

Abang Johari mengharga kerjasama Shell kepada kerajaan dalam proses pemerolehan itu.

MLNG Tiga Sdn Bhd diperbadankan pada 8 Nov 1995 bagi mengendali dan mengurus loji LNG ketiga di Tanjung Kidurong, Bintulu.

Ketua Menteri berkata sehingga Februari tahun ini, Sarawak menerima dividen terkumpul lebih daripada RM20 bilion menerusi pelaburannya dalam projek-projek LNG. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here