Sarung golok kitar semula

0
71



Sitiawan: Sarung dan hulu dua elemen penting sebagai tarikan kepada senjata seperti parang mahupun pedang yang kini menjadi antara alatan hiasan untuk dekorasi kediaman.

Justeru, bukan menghairankan apabila sarung dan hulu parang kini dihasilkan dengan pelbagai reka bentuk moden serta tradisional menggunakan kayu berkualiti bagi memenuhi permintaan tinggi pelanggan.

Lebih unik apabila senjata perhiasan itu didatangkan dengan alas yang dibuat daripada campuran bahan khas menggunakan barang terpakai seperti perca kain, ceraian guni bawang dan serbuk kayu.

Berkongsi keunikan itu, tukang sarung dan hulu Abdul Halim Ahmad, 51, mengakui idea itu memberikan kelainan kepada alas yang dihasilkan dengan menggunakan aduan cat akrilik, bahan pelekat dan pewarna.

“Alas pelapik senjata yang dijadikan hiasan dibuat menggunakan bahan terbuang dan hasilnya juga menarik biarpun hanya menggunakan barang kitar semula. Ramai menganggap hiasan itu sebagai unik dan mahal.

“Bahan yang digunakan seperti ceraian guni bawang dan kentang, serbuk kayu serta perca kain yang berwarna-warni. Semua ini memberikan keunikan kepada alas yang dihasilkan dengan padanan pelbagai jenis warna,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Batu 14 Lekir di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, bahagian paling rumit adalah proses melicinkan permukaan berbanding pengadunan bahan alas dan pembentukannya hanya mengambil masa sehari.

“Idea ini tercetus sejak setahun lalu dan sebelum ini, saya hanya menggunakan kayu. Hasil kraftangan ini mendapat sambutan sehingga ada pelanggan yang mengulangi tempahan.

“Dalam sehari saya boleh menyiapkan tiga alas dengan harga RM70 seunit.

Harga sarung dan hulu boleh mencecah antara RM180 sehingga RM420, manakala bagi pedang samurai pula RM700 hingga RM800, namun bergantung kepada saiz, bentuk dan jenis kayu digunakan,” katanya yang menerima tempahan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Katanya, sarung, hulu dan alas bukan mudah dihasilkan kerana memerlukan ketekunan, kemahiran serta paling mencabar apabila turut menuntut kesabaran tinggi berikutan kadang kala idea muncul tanpa mengira waktu.

“Membuat hulu pedang samurai pula menuntut lebih kesabaran kerana proses memasukkan bilah ke dalam hulu agak rumit, namun permintaannya semakin tinggi.

“Saya tidak mengambil tempahan bilah, tetapi boleh menempah dengan orang lain. Bagi mengembangkan pasaran, saya menggunakan media sosial untuk menerima tempahan dan menggunakan perkhidmatan pos,” katanya.

SHARE
Previous articleCapai KPI 100%
Next articlePPR Pudu Ulu 'bergegar'

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here