Sasha tidak pernah tuntut nafkah daripada bekas suami

0
76
Advertisement

SELEPAS hampir enam tahun bergelar ibu tunggal, pelakon dan penyanyi, Sasha Saidin mengakui semangatnya kini lebih kuat dan semakin terbuka mendepani cabaran hidup.

Meskipun bersendiri membesarkan anak lelakinya, Adam Aryasenna Notosoemarsono, 9, anggota asal kumpulan Elite ini tidak pernah menjadikan ia sebagai halangan untuk dirinya terus aktif dalam bidang seni.

“Saya tidak ada masalah besar sepanjang membesarkan Aryan semenjak berpisah dengan suami sehinggalah sekarang.

“Kehidupan kami berjalan dengan baik dan Alhamdulillah rezeki sentiasa ada untuk memenuhi keperluan harian serta pendidikannya.

“Kami melalui hidup yang sederhana dan saya tidak pernah menjadikan status saya sebagai ibu tunggal sebagai sesuatu yang menghalang untuk kami hidup bahagia sebagaimana orang lain,” ujar Sasha.

Sasha sebelum ini pernah berkahwin dengan seorang pemuzik yang juga warga Indonesia, Salyo Prinyanto pada tahun 2007, sebelum bercerai pada 10 Julai 2012.

Meskipun anak tidak pernah mendapat nafkah daripada bekas suami, Sasha tidak pernah menjadikannya sebagai isu, malah cuba menganggap bekas suami lebih tahu akan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.

“Kami  berpisah secara baik, malah hubungan Arya dan bapanya juga tidak ada masalah di mana mereka sering berhubung menerusi skype meskipun jarang berjumpa kerana suami menetap di Jakarta.

“Semenjak berpisah memang saya sepenuhnya menyara Arya tanpa sebarang nafkah daripada bekas suami.

“Namun saya tidak pernah mempersoalkan apatah lagi menuntut atau memaksa dia untuk berbuat demikian kerana bagi saya dia sepatutnya lebih tahu.

“Apa pun saya tak anggap ia sebagai suatu isu kerana beranggapan mungkin keadaan kewangan dia juga tidak begitu mengizinkan, lagipun saya dan Arya dalam keadaan yang baik-baik sahaja,” jelasnya kepada Sinar Harian.

Ditanya tidakkah dia mahu mencari berganti dan sekali lagi membina kehidupan berumah tangga, kata Sasha, segalanya diserahkan kepada jodoh yang telah ditetapkan untuknya.

“Memang keluarga terutamanya Zain nasihatkan saya supaya kahwin lagi. Namun sebagai seorang wanita yang pernah dua kali melalui kegagalan dalam rumah tangga, saya jadi lebih berhati-hati.

“Saya tidak boleh hanya memikirkan tentang diri sendiri, tetapi apa sahaja keputusan yang saya lakukan adalah melibatkan anak saya baik untuk masa sekarang mahupun pada masa depan.

“Apapun, saya tidak nafikan berkawan rapat dengan seseorang, Kami tidak merancang apa-apa ke arah yang lebih serius, cuma dia sering menjadi teman bual dan antara yang paling rapat dengan saya ketika ini,” ujar Sasha yang ditemui di majlis sidang media acara larian Mask Run 2018, pada Isnin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here