Sathia puas kemudi FELDA

0
247
Advertisement



SEKALIPUN sudah pernah merasai nikmat kejuaraan sebagai jurulatih, namun kejayaan mengemudi FELDA United menjuarai Liga Perdana musim ini memberi kepuasan luar biasa kepada B Sathianathan.

Sathia yang pernah menerajui Kelantan menjuarai Piala Malaysia pada 2010 dan membimbing ATM muncul juara Liga Perdana 2012 berkata, situasi yang dilalui oleh FELDA musim ini menjadikan kejuaraan yang dicapai amat bermakna.

“Pada orang lain, mungkin tiada apa yang perlu dilaungkan dengan kejayaan ini kerana ia sekadar Liga Perdana. Malah, ramai yang kononnya sudah menjangka. Tapi bukan salah mereka beranggapan begitu kerana mereka tidak berada dalam situasi kami.

“Apabila kami yang layak bermain dalam Liga Super tiba-tiba diturunkan ke Liga Perdana, moral pemain jatuh merudum kerana terlalu kecewa.

“Ekoran keputusan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) itu juga, ada pemain yang sepatutnya menyertai kami menarik diri pada saat akhir. Malah, beberapa pemain kami seperti Wan Zack (Haikal Wan Nor) cuba dipancing oleh pasukan lain.

“Ia memberi cabaran besar kepada kami. Saya bersama staf kejurulatihan dan pengurusan serta pemain senior seperti Shukor Adan terpaksa bekerja keras untuk memulihkan semangat pemain serta memberi mereka keyakinan,” jelas Sathia.

Di samping itu menurut Sathia, kejayaan juga bukan dicapai dengan mudah seperti jangkaan banyak pihak sebaliknya menuntut kerja keras serta komitmen tinggi pemain dalam setiap perlawanan.

Walaupun FELDA berstatus pasukan Liga Super namun lawan yang perlu mereka hadapi dalam Liga Perdana musim ini bukan budak belasahan.

“Taraf pasukan Liga Perdana sekarang tidak sama ketika saya menjadi jurulatih ATM dahulu. Ketika itu kami boleh membelasah lawan dengan jaringan besar.

“Tapi situasi sekarang amat berbeza kerana semua pasukan membuat persiapan rapi. Pasukan seperti FELCRA, JDT II (Johor Darul Ta’zim II), PDRM dan MIFA sudah jauh meningkat berbanding musim sebelumnya.

“Jadi, kalau ada yang menyatakan kami menjuarainya dengan mudah, mereka silap kerana kejayaan ini diraih selepas menempuh pelbagai dugaan dan cabaran sejak awal musim. Tanpa semangat dan komitmen semua pihak, ia tidak akan tercapai,” katanya.

Pasukan bergelar The Fighters itu sah menjadi juara Liga Perdana selepas mengalahkan Sarawak 3-1 di Kuching, malam tadi walaupun pertandingan masih berbaki dua perlawanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here