Saya ada maruah – Raja Ilya

0
54


KUALA LUMPUR: Pelakon jelita, Raja Ilya, 32, menepis dakwaan dia mengetepikan agama sehingga sanggup melakukan prosedur mengubah penampilan demi tawaran filem Hollywood.

Memperbetulkan persepsi negatif netizen selepas mengaku sanggup melakukan surgeri menghidupkan watak filem aksi adiwira terbitan sebuah studio terkemuka dunia, Ilya menjelaskan, pembedahan yang dimaksudkan adalah prosedur membuang ketulan atau ‘nodules’ yang dihadapinya sejak tahun lalu.

“Saya agak terkesan apabila ada netizen menganggap saya mengambil mudah soal agama hingga sanggup membuat perubahan diri. Malah, ada netizen yang mengaitkan agama dalam isu ini.

“Saya masih seorang Muslim dan berpegang kepada ajaran Islam. Boleh dikatakan ramai artis pernah buat pembedahan, tetapi apa yang saya mahu lakukan ini tidak ketara.

“Jangan kata disebabkan tawaran berlakon dengan produksi antarabangsa, saya sanggup ketepikan agama. Usah kaitkan isu ini dengan agama kalau tidak faham apa yang saya buat.

“Saya masih ada maruah dan harga diri. Bila orang salah faham, pelbagai kritikan dan tohmahan dilemparkan,” katanya kepada BH Online.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Ilya memberitahu, prosedur EMS (Electric Muscle Stimulation) yang bakal dilakukan mampu menghasilkan otot tubuh yang sesuai dengan watak yang bakal dilakonkan.

“Bagi mendapatkan otot seperti berlatih di gimnasium, saya buat rawatan khusus untuk otot badan, bukannya pembedahan plastik. Hakikatnya, saya tidak ada banyak masa berlatih di gimnasium.

“Jadi, dengan cara ini saja saya boleh mendapatkan otot badan dengan cepat. Sekarang memang banyak rawatan tubuh disediakan di beberapa klinik,” katanya.

Raja Ilya menambah, kritikan netizen membuatkannya dirinya tertekan malah ada yang menghentam dengan mendakwa dia tidak beragama.

Bintang filem Soulmate Hingga Jannah itu akan berangkat ke Amerika Syarikat (AS), Disember depan bagi menjalani penggambaran filem Hollywood berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here