'Saya hanya mahu bintang di jersi'

0
382
Advertisement



ISTRA, Russia: Penyerang Perancis, Antoine Griezmann berkata memenangi Piala Dunia mengatasi Croatia pada Ahad ini lebih penting daripada isu bagaimana pasukan itu melakukannya.

Sebelum ini, pemain Belgium mengkritik taktik digunakan Perancis ketika mereka tewas 0-1 pada separuh akhir,

Ketika itu, skuad kendalian Didier Deschamps berada jauh dalam kawasan sendiri dan tandukan kemenangan oleh Samuel Umtiti hadir menerusi sepakan penjuru, namun Griezmann menolak kritikan berkenaan.

“Saya tidak kisah. Saya hanya mahukan bintang (di jersi selaku juara Piala Dunia). Jika saya dapat bintang, saya tidak kisah bagaimana kami bermain,” kata penyerang 27 tahun Atletico Madrid itu dalam sidang akhbar di pangkalan latihan Perancis di luar Moscow.

Griezmann berkata, dia menukar gaya permainan buat Perancis dalam usaha menguatkan pasukan.

Dia menamatkan saingan selaku penjaring terbanyak Euro 2016 dengan enam gol, namun Perancis tewas pada final kepada pasukan disertai Cristiano Ronaldo, Portugal di laman sendiri.

Griezmann hanya menjaringkan dua gol di Russia dan kedua-duanya menerusi penalti, tapi dia menyumbang dua bantuan gol.

“Saya penjaring terbanyak tapi kami tewas, jadi saya berkata pada diri sendiri:

‘saya akan menjaringkan gol lebih sedikit untuk melihat sama ada kami boleh menang’.

“Permainan saya berubah, kini saya lebih kepada mengawal rentak atau memegang bola lebih kerap.

“Jika saya menjaringkan gol, ia pasti hebat, tetapi saya lebih kepada pemain yang memikirkan pasukan berbanding menjaringkan gol.

Selepas permulaan perlahan di Russia, Perancis kini sudah mula menemui prestasi sebenar mereka.

Gabungan pengalaman pemain seperti Griezmann dan Paul Pogba, serta bintang muda Kylian Mbappe dan Benjamin Pavard, memastikan mereka kekal menjadi pilihan untuk muncul juara pada edisi kali ini.- AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here