'Saya masih terkejut…'

0
158
Advertisement



KETIKA Rafael Nadal meraikan kejayaan menjulang trofi Terbuka Perancis untuk kali ke-11, bintang tenis Sepanyol itu mengakui masih terkejut apabila memenangi Grand Slam pada usia 32 tahun.

“Pada usia ini, saya fikir saya sudah bersara dan memiliki keluarga,” kata Nadal kepada akhbar sukan Sepanyol, Marca.

Nadal yang mengekalkan status pemain nombor satu dunia susulan kejayaan di Paris juga terkejut bahawa dia dan musuh ketatnya Roger Federer, 36, masih terus mendominasi arena tenis lelaki.

Karier kedua-dua pemain berkenaan dilihat akan berakhir selepas mereka mengalami kecederaan pada 2016 namun dalam tempoh 18 bulan terakhir, kesemua enam gelaran utama dimenangi sama ada Federer atau Nadal.

Apabila Federer menewaskan Nadal pada final Terbuka Australia 2017, bintang Switzerland itu menamatkan kemarau lima tahun kejuaraan Grand Slam.

Nadal juga menganggap kegemilangannya sudah berakhir selepas gagal memenangi sebarang gelaran utama pada 2015 dan 2016.

“Ia agak mengejutkan apabila pada 2017, saya sudah mengharungi dua tahun tanpa kejuaraan Grand Slam dan saya fikir, ia kali pertama berlaku sejak 2012,” tambah Nadal.

“Sudah pasti saya terkejut kerana apabila anda sudah lama tidak menang, anda tidak tahu sama ada anda akan melakukannya lagi.”

Kejayaan Nadal pada Ahad lalu membolehkannya mengumpul koleksi ke-17 Grand Slam, kurang tiga gelaran berbanding Federer.

Bagaimanapun dia tidak meletakkan sebarang tekanan terhadap dirinya sendiri untuk mengejar Federer.

“Semenangnya saya gembira jika memenangi 20 gelaran sepertinya atau lebih lagi tapi itu bukan perkara yang saya fikirkan sekarang dan 17 gelaran ini juga satu pencapaian menakjubkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here