'Saya mohon maaf kepada peminat…'

0
101
Advertisement



PENYERANG muda Negeri Sembilan, N Thanabalan, akui terkilan kerana tidak dapat membantu pasukan itu kekal dalam Liga Super musim depan selepas dikecewakan Kuala Lumpur, 1-2, pada perlawanan penentuan, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Ahad lalu.

 Pemain berusia 23 tahun itu yang tidak beraksi pada perlawanan berkenaan kerana kurang cergas, mengakui prestasi dan pencapaian skuad Hobin Jang Hobin musim ini tidak sepertimana yang diharapkan oleh peminat.

 “Kami sedar pencapaian pasukan musim ini tidak sepertimana yang diharapkan apabila gagal mengekalkan kedudukan dalam Liga Super bagi musim depan.

 “Saya dan rakan-rakan akui kecewa dengan pencapaian itu, namun kami sudah berusaha dan mencuba sebaik mungkin bagi mempertahankan maruah pasukan, tetapi tidak berjaya.

 “Secara peribadi, saya mohon maaf kepada peminat dan akan meneruskan perjuangan bagi menghadapi perlawanan terakhir liga menentang Melaka United, hujung minggu ini,” katanya di sini, hari ini.

 Negeri Sembilan bakal kembali bersaing dalam Liga Perdana musim depan selepas berada dalam kedudukan dua pasukan tercorot carta liga musim ini, walaupun masih berbaki satu perlawanan.

 Pasukan itu yang sebelum ini beraksi dalam Liga Perdana selama empat musim berturut-turut sejak 2014, kembali ke Liga Super musim ini atas sebab kelulusan lesen Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan bukannya dari segi merit.

 Namun, ternyata peluang itu gagal dimanfaatkan oleh barisan pemain skuad berkenaan apabila mereka sekadar meletakkan pasukan terbabit pada kedudukan dua pasukan tercorot carta.

 Thanabalan yang kembali bersama skuad Rusa selepas menyertai FELCRA FC musim lalu berkata, fokusnya kini adalah untuk kembali mendapatkan tahap kecergasan terbaik bagi menghadapi pertembungan dengan Melaka United, di gelanggang sendiri, Sabtu ini.

 Menurutnya, jika diturunkan, pihaknya akan cuba membantu pasukan bimbingan Mario Lemos itu untuk mencapai kemenangan pada perlawanan berkenaan, bagi memastikan peluang beraksi dalam Piala Malaysia tidak terlepas.

 “Jika berpeluang bermain, saya akan berusaha berikan yang terbaik dan bantu mencapai kemenangan supaya pasukan berpeluang bersaing dalam Piala Malaysia,” katanya.

 Mengikut peraturan ditetapkan, satu pasukan daripada Liga Super akan tersingkir daripada bersaing dalam Piala Malaysia dan kini perebutan membabitkan antara Negeri Sembilan dengan Kelantan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here