Saya paling kecewa – Yusri

0
411
Advertisement



PENGENDALI Kelantan, Yusri Che Lah, akui amat kecewa apabila hasrat pasukannya untuk mencipta kemenangan dinafikan lawan pada minit terakhir perlawanan dan akur seri 1-1 dengan Melaka United pada aksi Liga Super, malam tadi.

Jurulatih kelahiran Perlis itu berkata, skuad kendaliannya sepatutnya mampu meraih tiga mata namun ia dikecewakan apabila lawan menerima hadiah sepakan penalti pada masa tambahan minit ke-90.

“Apapun saya tetap memberi kredit kepada setiap pemain walaupun saya tahu kita belum beraksi dengan baik tetapi disiplin yang mereka (pemain) terapkan sepanjang perlawanan mampu menutup terus ruang dan peluang untuk lawan (Melaka United).

“Kita banyak mencipta peluang namun belum lagi mencapai sasaran dan seperti semua dapat lihat penyerang import pasukan, Cristiano Santos, masih lagi gagal menembusi gawang biarpun sudah beraksi empat perlawanan sejak menyertai pasukan.

“Mungkin ramai yang tidak setuju dengan pemain ini namun sebagai jurulatih saya memahami keadaanya dan keberadaannya di kawasan serangan sekurang-kurang membantu pemain lain selain dia juga antara nadi kekuatan pasukan yang ada,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, di sini, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, bekas penyerang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) Shafiq Shaharudin sekali lagi menganas apabila muncul sebagai penjaring buat The Red Warriors (TRW) bernafas sehingga minit ke-90 sebelum lawan, Melaka United menerima sepakan penalti yang disempurnakan Yahor Zubovich.

Mengulas mengenainya, Yusri berkata peluang yang diperoleh Shafiq atau dikenali ‘Macha’ itu amat sukar bagi setiap penyerang namun dia mampu membuktikan kelebihan penyudah yang baik ada padanya.

“Shafiq tidak mempunyai ruang untuk jaringan gol yang besar tetapi dia mampu memperolehnya kerana penyudah yang ada padanya boleh dianggap sebagai pembunuh biarpun jarang mendapat peluang menjaringkan gol.

“Berlainan dengan Santos, seorang pemain import memiliki banyak peluang menjaringkan gol malam ini (malam tadi) namun gagal disudahkan tetapi ini yang kita terpaksa terima,” katanya yang tetap optimis dengan tiga lagi baki perlawanan boleh memberi rezeki buat pasukan kekal bersaing dalam Liga Super musim depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here