Saya pulang tengok anak – Martial

0
286
Advertisement



PENYERANG Manchester United, Anthony Martial memberi amaran kepada Jose Mourinho betapa keluarga adalah keutamaannya selepas dia membuat keputusan untuk pulang ke Perancis ketika jelajah pra-musim kelab berkenaan di Amerika Syarikat (AS).

Martial meninggalkan pasukan lebih awal bagi menanti kelahiran anak lelakinya, Swan Anthony di Paris, sekali gus mencetus berang pengurus United, Mourinho dan dipercayai akan dikenakan denda susulan tindakannya itu.

Selepas United meraih kemenangan 2-1 ke atas Real Madrid, semalam, pengurus dari Portugal itu berkata, beliau tidak mengetahui bila pemainnya itu akan kembali ke pangkuan pasukan dan Martial pada hari yang sama memberikan jawapan balas.

“Terima kasih atas segala ucapan yang diberikan. Anak lelaki saya berada dalam keadaan baik, ia agak sukar bagi ibu tetapi terima kasih Tuhan, dia lebih baik ketika ini,” kata Martial menerusi Twitter.

“Minta maaf tetapi keluarga sentiasa perkara utama… Kembali esok di Manchester.”

Martial yang dijangka berdepan denda 180,000 pound (RM960,912) atas kelewatannya menjalani latihan di bawah kendalian pasukan pernah menyuarakan hasrat meninggalkan United kerana kurang beraksi, tetapi Mourinho enggan melepaskannya. 

Begitupun, tindakannya meninggalkan pasukan dijangka akan menghangatkan kembali spekulasi selepas tempoh masanya bermain dihadkan sejak Mourinho mengambil alih United dari Louis Van Gaal pada musim 2015/16.

Mourinho yang menunggu kepulangan pemainnya itu di AS pada minggu lalu memberitahu MUTV: “Martial kini mempunyai anak dan selepas bayi itu dilahirkan, bayi yang cantik, cukup sihat, dan terima kasih tuhan, dia sepatutnya di sini tetapi dia tidak ada di sini.”

Penampilan sulung Martial di Old Trafford di bawah kendalian Van Gaal menyaksikannya beraksi dalam 31 perlawanan Liga Perdana dengan 29 penampilan dalam kesebelasan utama dan menjaringkan 11 gol.

Sejak dua musim di bawah kendalian Mourinho, dia bermain dalam 25 dan 30 perlawanan tetapi hanya disenaraikan dalam kesebelasan utama sebanyak 18 kali bagi kedua-dua musim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here