Saya runsing

0
71



Kuantan: “Sejak suami berada di pusat pemulihan kehidupan saya bertambah sukar, hanya Allah saja tahu kebimbangan saya terhadap anak-anak. Kalau boleh saya hendak kerja, cari duit sendiri sara anak.

“Tetapi, apakan daya anak saya masih kecil, usianya baru empat bulan. Jika saya kerja, siapa hendak jaga anak-anak dan bayar pengasuh, lagi pun saya tak mampu,” kata Nur Zalina Mohd Fauzi, 35.

Ibu kepada tujuh anak berusia antara empat bulan hingga 10 tahun itu berkata, kehidupannya sekeluarga bertambah perit sejak suaminya dihantar ke pusat pemulihan di negeri ini, awal Januari lalu.

Katanya, sejak itu hari-hari dilaluinya bertambah sukar malah keperluan anak sentiasa tidak mencukupi lebih-lebih lagi anak lelakinya yang berusia empat bulan.

“Saya runsing dengan kehidupan ini, anak-anak perlukan lampin pakai buang, susu setiap bulan, duit tambang bas dan belanja sekolah mereka. Masalah ini sentiasa bermain di fikiran.

“Saya tidak mampu berbuat apa-apa kecuali mengharapkan simpati, namun ibu mentua saya sanggup membantu walaupun dia sendiri serba kekurangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Air Putih, di sini, kelmarin.

Nur Zalina berkata, kebimbangan bertambah apabila anak-anaknya terputus bekalan seperti susu tepung dan lampin pakai buang selain makanan, namun dia tetap reda dengan ujian menimpa.

Beliau berkata, dia juga pernah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada rakan untuk meminta wang membeli susu dan lampin anaknya yang berusia empat bulan itu.

“Saya terpaksa tebalkan muka bagi memastikan anak saya dapat susu. Alhamdulillah, dia datang menyalurkan bantuan, saya tak pernah minta banyak, asalkan anak saya ini ada makanan itu sudah memadai.

“Sebolehnya, saya mahu elak untuk selalu bergantung kepada orang, tapi apakan daya saya tiada pilihan lain,” katanya.

Di sebalik kesempitan hidup dilalui Nur Zalina, ibu mentuanya yang bekerja di kedai makan sering membantu dengan membeli barangan keperluan anak-anaknya.

“Ibu kena bayar sewa rumah RM200 sebulan. Pendapatan ibu kira-kira RM45 sehari, daripada gaji itu ibu terpaksa menyimpan, jika tidak kami sekeluarga boleh dihalau dari rumah ini,” katanya sambil menambah orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubunginya di talian 012-2172065.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here