'Saya terkilan PAS jadikan PKR bahan serangan'

0
82



ULASAN Saya mengambil maklum dan mengikuti perkembangan Muktamar Dewan Pemuda PAS. Dalam muktamar tersebut beberapa pembahas menyasarkan Parti Keadilan Rakyat, YB Rafizi Ramli dan Datuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai bahan serangan.

Saya berasa agak terkilan kerana PAS menjadikan PKR sebagai bahan serangan dan bukannya Umno dan Barisan Nasional. Seharusnya platform penting seperti muktamar dijadikan pentas utama untuk membincangkan agenda yang menekan rakyat oleh pemerintah Umno dan Barisan Nasional.

Kerajaan negeri Selangor yang terdiri daripada gabungan PKR, DAP, PAS dan AMANAH telah mendapat mandat sekali lagi dalam pilihanraya umum yang lalu.

Adalah tidak masuk akal jika PAS membuat keputusan untuk memutuskan “tahalluf siyasi” bersama PKR dan pemegang jawatan PAS masih mahu duduk bersama dalam sebuah kerajaan.

Umum mengetahui PAS tidak mahu menjalin kerjasama bersama DAP dan AMANAH. Ini bermakna tahalluf siyasi bersama PKR adalah satu-satunya tiket buat PAS untuk terus duduk bersama dalam sebuah kerajaan seperti di Selangor. Kelmarin, Dewan Ulama PAS dalam muktamar tahunannya meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan PKR.

Jika usul ini diterima dalam Majlis Syura, ini bermakna pemegang jawatan PAS di semua peringkat dalam kerajaan negeri Selangor seharusnya berundur dari jawatan masing-masing. Perkara ini secara tidak langsung akan menjejaskan kestabilan politik khususnya di negeri Selangor.

Semalam, Ketua Dewan Pemuda Pas yang baru, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata dalam muktamar, (bahawa) pimpinan PAS di Selangor tidak perlu meletak jawatan dalam kerajaan negeri Selangor jika parti Islam itu memutuskan tahalluf siyasi dengan PKR secara muktamad.

Adalah tidak masuk akal PKR dan PAS bercerai tetapi masih mahu duduk sebumbung. Perlu saya tegaskan kepada Saudara Muhammad Khalil bahawa kerajaan negeri Selangor tidak dibentuk dengan hanya kerjasama PKR dan PAS semata-mata, tetapi DAP dan AMANAH juga punya peranan besar untuk memperkukuhkan kestabilan kerajaan negeri.

Justeru saya menggesa Majlis Syura Ulama sebagai badan tertinggi dalam PAS bertindak matang dalam membuat keputusan sebelum sesuatu usul diterima dan diputuskan.

Kerana sebarang usul yang bertindak memutuskan hubungan tahalluf siyasi bersama PKR akan mengheret kepada situasi ketidakstabilan politik khususnya di negeri Selangor dan ini akan memberikan kelebihan kepada musuh utama Umno dan Barisan Nasional.

Sedarlah bahawa musuh utama kita adalah Umno dan Barisan Nasional dan bukannya parti-parti di kalangan pembangkang.


SYED BADLI SHAH SYED OSMAN adalah penolong setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat dan juga setiausaha AMK Selangor

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here