Saya tunaikan tanggungjawab, kata Anwar pada penyiasat forex

0
64



Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau hanya menunaikan tanggungjawab apabila memberi keterangan kepada pasukan petugas siasatan skandal pertukaran asing (forex) sekitar tahun 90-an.

Bekas timbalan perdana menteri yang sedang menjalani hukuman lima tahun penjara atas kesalahan liwat di Sungai Buloh berkata, keterangannya itu tidak berbentuk politik.

Beliau juga berkata kesalahan itu diletakkan pada bahu Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika berada di Bank Negara.

Nor Mohamed bagaimanapun dilantik sebagai menteri kewangan dan hingga sekarang berada dalam pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dalam badan pelaburan negara Khazanah, kata Anwar.

Sementara itu, berkaitan siasatan pasukan petugas kerugian forex itu, Anwar berkata beliau hanya dimaklumkan sehari sebelum prosiding itu.

“Bagaimanapun, saya tidak ditunjukkan sebarang dokumen,” tambahnya.

Anwar, menteri kewangan antara 1991 hingga 1998, dihadapkan ke pasukan itu pada 20 April lalu.

Pasukan petugas berkenaan diketuai bekas ketua setiausaha negara, Tan Sri Sidek Hassan dan terdiri daripada wakil-wakil daripada pelbagai agensi kerajaan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Suruhanjaya Sekuriti.

Pasukan itu ditubuhkan untuk menyiasat kerugian daripada spekulasi mata wang oleh Bank Negara sekitar 1990-an.

Ia akan menjalankan siasatan sekiranya terdapat cubaan untuk menutup kerugian dan mengelirukan parlimen dengan mencadangkan tindakan selanjutnya diambil, jika perlu.

Skandal forex Bank Negara berlaku ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri apabila bank pusat itu didakwa mengalami kerugian besar akibat spekulasi mata wang asing.

Pengkritik menyifatkan penubuhan pasukan petugas itu sebagai langkah politik di pihak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi memberi tekanan kepada Mahathir, yang telah mendesak pengunduran beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here