Schapelle Corby tiba di Australia

0
44


WARGA Australia, Schapelle Corby (kanan) kembali ke negara kelahirannya hari ini susulan pengusirannya dari Bali, 12 tahun selepas disabitkan menyeludup dadah. – Foto REUTERS

BRISBANE: Warga Australia, Schapelle Corby, kembali ke negara kelahirannya hari ini susulan pengusirannya dari Bali, 12 tahun selepas disabitkan menyeludup dadah.

Corby dan kakaknya, Mercedes, mengelakkan kamera ketika tiba di bandar raya Brisbane awal pagi ini, dengan siaran secara langsung di televisyen menunjukkan konvoi kenderaan dipercayai membawa mereka meninggalkan lapangan terbang.

“Dengan rasa gembira dan lega, pagi ini kami menyambut kepulangan Schapelle Corby ke Australia.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada penyokong Schapelle di atas kepercayaan, kasih sayang dan sokongan ditunjukkan. Keutamaan kini diberikan kepada proses pemulihan dan terus melangkah,” kata anggota pasukan keselamatannya, membacakan kenyataan keluarga wanita itu di lapangan terbang Brisbane.

Wanita yang keciciran daripada belajar di sekolah kecantikan itu menjadi tajuk utama di Australia apabila ditangkap pada 2014 di lapangan terbang Bali dengan beberapa kilogaram ganja disumbat dalam beg peralatan luncur air, dan dipenjarakan pada tahun berikutnya selama 20 tahun.

Corby, kini 39, tidak mengaku bersalah, menegaskan dadah itu diletakkan dalam beg itu, dan menerima sokongan rakyat Australia yang percaya dia dianiaya atau menjadi mangsa sistem kehakiman yang sudah rosak.

Hari terakhirnya di Bali menjadi perhatian media apabila keluar dari vila dengan muka disembunyikan dengan skaf, dan dikejar wartawan sebelum menaiki pesawat ke Australia. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here