Scomi catat kerugian sebelum cukai RM33.47 juta bagi suku-2

0
8

KUALA LUMPUR: Scomi Group Bhd mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM33.47 juta bagi suku kedua yang berakhir 30 Sept, 2017, daripada kerugian sebelum cukai RM30.59 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil susut kepada RM173.81 juta daripada RM176.05 juta sebelumnya.

Syarikat pembekal peralatan lapangan minyak itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, prestasi kewangan lemah itu bagi tempoh tersebut adalah disebabkan oleh kerugian tinggi yang dicatatkan dalam bahagian penyelesaian pengangkutan.

“Kerugian dalam bahagian itu adalah disebabkan oleh hasil rendah dan kerugian tukaran wang asing tidak direalisasi bersih daripada terjemahan belum terima terakru bagi projek monorel Mumbai dan Brazil, ekoran penurunan nilai rupee India dan real Brazil berbanding ringgit.

“Ia diimbangi sebahagiannya oleh keuntungan tukaran asing tidak direalisasi daripada terjemahan pinjaman dolar AS bagi projek monorel di Brazil disebabkan pengukuhan real Brazil berbanding dolar AS semasa suku tersebut,” kata syarikat itu.

Mengenai prospek perkhidmatan penggerudiannya, Scomi berkata ia akan terus giat menyertai bidaan baharu dan memanfaatkan prasarana sedia adanya dan meneruskan aktiviti rasionalisasi kosnya.

Bagi bahagian perkhidmatan marin, kumpulan itu berkata, ia menjangka aktiviti unit arang batunya di Indonesia kekal kukuh dan memberi sumbangan positif kepada keseluruhan pendapatan kumpulan.

“Bagi bahagian penyelesaian pengangkutan, kumpulan akan terus meningkatkan usaha mengembangkan perniagaan dalam pasaran semasa kami di Malaysia, Brazil dan India dan mencari perniagaan baharu di pelbagai pasaran strategik seperti China, Turki dan Asia Tenggara bagi segmen kereta api,” kata syarikat itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here