Sebanyak 57,519 kes keganasan terhadap wanita dilapor sejak 2010

0
87



KUALA LUMPUR: Sebanyak 57,519 kes keganasan terhadap wanita dilaporkan sejak 2010 hingga Mac 2017 berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Chew Mei Fun berkata jumlah tersebut merangkumi bilangan kes keganasan rumah tangga dan kes-kes jenayah di bawah Kanun Keseksaan yang melibatkan wanita sebagai mangsa seperti kes mencabul kehormatan, sumbang mahram, rogol dan kesalahan luar tabii.

“Sebanyak 23,212 kes (40 peratus) merupakan kes keganasan rumah tangga yang melibatkan wanita sebagai mangsa.

“Bagi kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tempoh 2010 hingga 2016 pula adalah sebanyak 28,365 kes,” katanya menjawab soalan Senator Engku Naimah Engku Taib tentang bilangan kes keganasan terhadap wanita dan penderaan serta pengabaian kanak-kanak bagi tahun 2010 hingga 2017.

Engku Naimah juga ingin mengetahui sejauh mana keberkesanan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) pindaan 2012 dalam membendung kejadian keganasan terhadap wanita dan penderaan kanak-kanak.

Chew berkata kerajaan telah membuat pindaan pertama ke atas Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 pada 21 Dis 2015 dan dikuatkuasakan pada 20 Feb 2013 bagi memperluaskan takrifan keganasan rumah tangga dari bentuk fizikal meliputi penderaan emosi, mental dan psikologi, penggunaan bahan yang memabukkan serta bahan yang menyebabkan delusi kepada mangsa termasuk mangsa kanak-kanak.

Menurutnya selepas pindaan akta tersebut dibuat, semua pegawai yang terlibat dalam pengendalian kes keganasan rumah tangga telah diberi 14 sesi taklimat yang diadakan di seluruh negara.

“Taklimat itu merupakan program advokasi yang antara lain bertujuan meningkatkan kefahaman dan pengetahuan tentang kaedah pengendalian kes termasuk mangsa keganasan rumah tangga kepada pegawai berkaitan dan menyebarluas peranan dan tanggungjawab agensi berkaitan yang mengendalikan kes tersebut.

“Pindaan yang dibuat ke atas Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 pada 2012, kementerian kami dengan kerjasama sembilan agensi telah membangunkan Garis Panduan Pengendalian Kes Keganasan Rumah Tangga yang menyatakan peranan dan tanggungjawab agensi tersebut,” katanya.

Chew berkata Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) yang diwujudkan bagi memberi perlindungan undang-undang kepada mangsa keganasan rumah tangga tidak hanya terhad kepada isteri malah turut merangkumi suami, bekas suami atau isteri, kanak-kanak dan orang dewasa tidak berkeupayaan dan anggota keluarga yang lain.

Beliau berkata statistik PDRM menunjukkan jumlah kes yang dilaporkan saban tahun meningkat sebanyak 66 peratus iaitu 3,488 kes pada tahun 2013 kepada 5,796 kes pada tahun 2016.

“Peningkatan jumlah kes yang dilaporkan salah satu indikator yang menunjukkan masyarakat secara umum mengetahui dan mempraktikkan hak mereka seperti yang digariskan di bawah akta ini.

“Hal ini juga membuktikan tahap kesedaran masyarakat terhadap kesalahan keganasan rumah tangga turut meningkat,” katanya.

Chew berkata dalam usaha memantapkan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, kementerian turut mencadangkan akta tersebut dipinda bagi menambah baik akta sedia ada serta kekal relevan dengan situasi semasa.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here