Sejam pujuk remaja buat ujian air kencing

0
39



Seremban: Anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengambil masa lebih sejam memujuk seorang remaja perempuan melakukan ujian saringan air kencing ketika ditahan dalam Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2017 di Jalan Dato Muda Linggi, di sini, malam kelmarin.

Remaja berusia 17 tahun itu ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama kekasihnya berusia 19 tahun selepas kereta Proton Satria dinaiki mereka menggunakan cukai jalan tamat tempoh, kira-kira jam 10 malam.

Mereka diarah menjalani ujian saringan air kencing oleh anggota AADK dan kekasihnya didapati positif methamphetamine menyebabkan remaja terbabit enggan melakukan ujian sama.

Dia kemudian dibawa ke pejabat AADK Negeri Sembilan, jam 11.30 malam dan hasil ujian saringan air kencing disahkan positif Eramin 5.

Ketua Unit Pendakwaan dan Pengawasan AADK negeri, Aziz Musa berkata, pasangan terbabit antara lima yang ditahan positif dadah dalam operasi bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Menurutnya, operasi berkenaan diketuai JPJ dengan kerjasama AADK, Jabatan Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS) dan Jabatan Alam Sekitar.

“Kita melakukan ujian terhadap 20 individu dan hanya lima ditahan iaitu empat lelaki dan seorang perempuan berusia antara 17 hingga 30-an. Semua yang ditahan dibawa ke pejabat AADK untuk siasatan lanjut mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Remaja perempuan terbabit masih bersekolah dan akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. Hasil soal siasat, dia mengaku mengambil dadah bersama rakannya,” katanya pada sidang media, malam kelmarin.

Turut hadir Pengarah JPJ negeri, Azrin Borhan dan Penolong Jurutera Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Razali Othman.

Aziz berkata, seramai 158 individu diambil ujian saringan air kencing dan 10 daripadanya positif dadah sepanjang Op HRA 2017 yang bermula 26 Jun hingga malam kelmarin.

Menurutnya, daripada jumlah itu, lapan daripada mereka menggunakan dadah jenis methamphetamine yang dikesan antara dadah popular di kalangan penagih di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya berpuas hati apabila tiada pemandu bas positif dadah daripada 82 orang yang diambil ujian saringan air kencing sepanjang operasi berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here