Sekatan perpindahan terhadap Kelantan masih berkuat kuasa – FMLLP

0
66



KUALA LUMPUR: Sekatan perpindahan pemain yang dikenakan terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih berkuat kuasa berikutan isu-isu yang dihadapi persatuan itu.

Bagaimanapun, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), dalam kenyataan hari ini, berkata pihaknya hanya menerima permohonan untuk mendaftarkan seorang pemain import sahaja.

Kenyataan FMLLP itu berikutan pengumuman KAFA yang mahu membawa masuk dua pemain import, iaitu Abou Bakr Al-Mel dari Lubnan dan warga Perancis, L’Imam Seydi menggantikan Mohammed Ghaddar yang berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Alessandro Celin.

“Ia tidak boleh diluluskan kerana KAFA masih menghadapi sekatan perpindahan kerana isu-isu berkenaan pembayaran perkara-perkara wajib masih belum diselesaikan.

“Sewaktu sekatan ini berkuat kuasa, sebarang perpindahan perlu mendapat kelulusan FMLLP dan jika ia tidak membawa impak yang positif kepada kedudukan kewangan pasukan atau tidak meletakkan pasukan itu dalam keadaan di mana hutang-hutang yang sedia ada dapat ditangani maka perpindahan itu tidak dapat diluluskan,” menurut kenyataan itu.

Pada 2 Mei lepas, FMLLP mengenakan tindakan pemotongan enam mata dan larangan perpindahan kepada dua pasukan Liga Super, iaitu Kelantan dan T-Team serta dua pasukan Liga Perdana, iaitu Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pendaftaran pemain bagi musim 2017.

FMLLP kemudian mengurangkan pemotongan mata terhadap pasukan T-Team dan Perlis kepada tiga mata selain membatalkan larangan perpindahan pemain selepas menerima rayuan daripada kedua-dua pasukan itu.

Pasukan Kelantan hari ini menerima kritikan daripada pihak Persatuan Pemain Bola Sepak Antarabangsa (FIFPro) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) selain bekas pemain pertahanan Kelantan, Jonanthan McKain yang mempersoalkan tindakan pasukan itu membawa masuk pemain baharu sedangkan tunggakan gaji pemain masih tidak diselesaikan.

Bagaimanapun, Penasihat KAFA ,Tan Sri Annuar Musa yang mempertahankan keputusan membawa masuk dua pemain itu, berkata ia merupakan langkah bagi memperkuatkan pasukan untuk mengharungi baki saingan liga dan memperbaiki aliran tunai kewangan pasukan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here