Sekolah agama persendirian, madrasah tahfiz didaftar di bawah JAKIM dalam masa terdekat – Mahdzir

0
95



KUALA LUMPUR: Sekolah aliran agama persendirian termasuk madrasah tahfiz akan didaftar di bawah Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dalam masa terdekat, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata langkah di bawah program Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu akan dilaksanakan setelah JAKIM selesai memuktamadkan beberapa perkara termasuk terma pendaftaran bagi sekoloah-sekolah tersebut.

“Seperti yang disebut perdana menteri bahawa pusat tahfiz juga kita akan daftarkan di bawah satu pendaftaran secara penuh yang dikendalikan di bawah JAKIM.

“Kalau ini berlaku, maknanya semua sekolah persendirian aliran agama akan didaftarkan dan mudah untuk diurus apa-apa prosedur yang hendak dikenakan kepada sekolah ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pada Mac tahun lalu, Najib mengumumkan bahawa kerajaan melalui JAKIM sedang merangka DPTN bagi memperkasakan institusi pendidikan tahfiz al-Quran di negara ini.

Mengulas mengenai cadangan agar satu garis panduan berkaitan pelaksanaan hukuman rotan di sekolah tahfiz diadakan, Mahdzir berkata sekolah persendirian termasuk madrasah tahfiz mestilah mengikut panduan gerak kerja prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Sekolah agama persendirian, madrasah tahfiz di bawah mana-mana tanggungjawab sekalipun mestilah berpandu kepada SOP KPM sama ada berkaitan disipilin, kebajikan, tanggungjawab guru dan pelajar.

“Begitu juga merotan, kena ikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan sebelum ini mahukan agar satu garis panduan berkaitan pelaksanaan hukuman rotan diwujudkan di sekolah tahfiz kerana garis panduan merotan ketika ini hanya melibatkan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan tidak melibatkan sekolah tahfiz di bawah seliaan jabatan agama.

Mohamad Ali berkata pihak berkuasa juga perlu mengkaji semula kaedah pembelajaran di sekolah tahfiz untuk melihat kerelevanan merotan pelajar dan menggantikannya dengan cara mendisiplinkan pelajar yang wajar.

Cadangan tersebut dibuat susuan berlaku kes memukul oleh seorang pembantu warden asrama ke atas seorang pelajar sekolah tahfiz di Johor, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, yang mengakibatkan dia meninggal dunia.

Mahdzir meminta ibu bapa yang mahu anak-anak mereka bersekolah di aliran agama untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang didaftarkan dengan kerajaan dan dilengkapi aliran akademik.

“Di Malaysia kita ada sekolah awam, sekolah akademik dan bagi aliran agama, kita ada sekolah Imtiaz, Ulul Albab yang pelajarnya belajar akademik dan dalam masa yang sama boleh hafaz al-Quran.

“Kita galakkan ibu bapa memilih sekolah-sekolah ini,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here