Sektor e-Dagang "boom", sekarang masa bina kerjaya dengan Pos Malaysia

0
25
Advertisement

SHAH ALAM: Daripada surat kini mengendali penghantaran barangan dalam talian, ledakan arus teknologi telah menjadikan Pos Malaysia Berhad antara pemain utama pasaran pengendalian bagi sektor e-Dagang negara.

Ia sekali gus membuka satu pasaran baharu bagi Pos Malaysia untuk terus berkembang maju setanding syarikat-syarikat kurier lain.

Sektor e-Dagang Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 47 peratus sejak 2015 dan nilainya kini mencecah RM 9.85 bilion.

Seiring dengan perkembangan ini, proses transformasi Pusat Parcel Bersepadu (IPC) Pusat Mel Nasional di sini bakal meningkatkan kapasiti pemprosesan bungkusan pelanggan sehingga 300,000 sehari. Pada masa ini, IPC memproses secara purata 150,000 bungkusan sehari atau sekitar 60 peratus daripada jumlah keseluruhan bungkusan yang diurus di seluruh negara.

“Kesan daripada pertambahan e-Dagang, contoh yang terdekat kita tengok pada 11 November lalu yang mana kita menerima lambakan barang daripada peniaga seluruh negara. 

“Ini menyebabkan sampai pada satu masa itu, kita terpaksa memproses sebanyak 200,000 barang sehari dan itu begitu agak mencabar.

“Walau bagaimanapun, kita sebagai entiti yang menyalurkan barang tersebut kepada rakyat, kita harus menyahut walau apa pun cabaran yang sampai,” kata Ketua IPC Pusat Mel Nasional Syed Zulnurin Syed Loed.

Selain perluasan kawasan operasi pengurusan bungkusan, mesin baharu turut ditambah bagi memudahkan proses pengasingan bungkusan pelanggan.

Peningkatan operasi IPC ini bermakna ia membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak muda yang berminat mempunyai kerjaya bersama Pos Malaysia.

“Betul, sebab mesin memerlukan pekerja terutama di proses-proses tertentulah kerana kita masih lagi menggunakan proses manual antara mesin ke trak sebab kita perlu pindahkan daripada mesin ke trak dan masih memerlukan tenaga pekerja, so kita jangkakan pertambahan antara 150 orang hingga 200 orang,” tambah Syed Zulnurin.

Dianggarkan sekitar 5,000 hingga 6,000 syarikat e-Dagang menggunakan perkhidmatan Pos Malaysia untuk menghantar bungkusan kepada pelanggan.

Kata Syed Zulnurin lagi, berbanding dengan pencapaian pada tahun lepas, tahun ni kita (Pos Malaysia) punya peningkatan agak ketara sebanyak 30-40 peratus. Oleh itu pihak pengurusan telah bersetuju untuk memperluas kawasan-kawasan kita dan dijangkakan kita akan siap perkembangan tempat baharu pada bulan Ogos tahun hadapan.

Peningkatan operasi  IPC membolehkan Pos Malaysia kekal menjadi pemain utama di dalam pasaran pengendalian penghantaran yang dianggar bernilai RM600 juta tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here