Sekumpulan anjing berwarna biru berkeliaran di jalanan cetus tanda tanya

0
21

MUMBAI: Penduduk di sebuah kejiranan di Mumbai, India gempar apabila sekumpulan anjing berwarna biru berkeliaran di jalanan.

Penemuan anjing dengan warna aneh itu menjadi perhatian ramai selepas foto dan video mengenainya mula tular di media sosial seluruh dunia.

Kumpulan haiwan berkenaan dipercayai sering mencari makanan dekat Sungai Kasadi berhampiran Kawasan Perindustrian Taloja Navi, Mumbai yang memungkinkan perubahan kepada warna bulu mereka.

Bagaimanapun, tinjauan daripada pihak Lembaga Kawalan Pencemaran Maharashtra (MPCB) pada Jumaat mendapati, terdapat sebuah kilang yang terletak berhampiran sungai berkenaan menggunakan pewarna biru untuk beberapa tujuan, termasuk membuat bahan pencuci.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada portal berita tempatan, pihak MPCB telah mengeluarkan notis amaran kepada syarikat berkenaan untuk menghentikan pelepasan sisa berkenaan ke sungai.

“Kami juga telah memberi amaran kepada pihak syarikat berkenaan untuk memastikan tiada haiwan masuk ke kawasan berkenaan bagi mengelak kejadian sama berulang,” kata pegawai MPCB, Jayavant Hajare.

Sementara itu, ujian kualiti air yang dibuat pihak berkuasa tempatan mendapati bacaan permintaan oksigen biokimia (BOD) berada pada tahap 80 miligram per liter (Mg/L).

Ini bermakna kepekatan oksigen dalam sungai Kasadi amat rendah malah diburukkan lagi dengan bacaan klorida yang tinggi merosakkan ekosistem hidupan di kawasan sekitar.

Walau bagaimanapun, aktivis haiwan masih tertanya-tanya berkaitan langkah yang diambil memandangkan kajian mendalam masih dibuat bagi menentukan sama ada kesan sama turut memberi kesan kepada hidupan lain seperti burung dan reptilia di kawasan sama.

Sejak awal 2016, peningkatan jumlah sisa industri yang dibuang ke sungai Kasadi menjadikan ia 13 kali lebih tercemar daripada sebelumnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here