Selangor optimis untuk bangkit

0
188
Advertisement



KUALA LUMPUR: Kekalahan di tangan PKNP FC pada aksi pembukaan Piala Malaysia dilihat tidak menjejaskan misi Selangor untuk meneruskan pemburuan gelaran piala berprestij itu buat kali ke-34 musim ini.

Ini kerana pengendali The Red Giants, Nazliazmi Nasir memberi jaminan betapa anak buahnya akan kembali bangkit pada aksi seterusnya dan berusaha mencipta kemenangan dalam baki lima perlawanan lagi.

“Saya optimis pemain akan dapat meraih kemenangan dalam baki lima perlawanan lagi dan menunjukkan aksi yang lebih baik sekali gus akan terus memberi cabaran kepada pasukan lain.

“Buat masa ini, motivasi amat diperlukan buat pemain dan dalam lima perlawanan ini, apa sahaja boleh berlaku. Apapun, kita akan buktikan betapa kami mampu pada aksi selepas ini bertemu Pahang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Pada aksi di Stadium Shah Alam itu, Selangor yang kembali beraksi di stadium keramat mereka sebagai tuan rumah selepas satu setengah musim terpaksa akur selepas tunduk 0-3 di tangan PKNP FC.

Dua gol pada babak pertama menerusi Hafiz Ramdan dan Fandi Ahmad serta jaringan ketiga oleh Ritus Krjauklis sudah cukup untuk PKNP FC ‘mencemarkan’ parti kepulangan Selangor sekali gus merencatkan hasrat mereka membuka kempen memburu gelaran ke-34 dengan langkah kanan.

Mengulas lanjut persembahan anak buahnya, Nazliazmi mengakui segala perancangannya serba tidak menjadi dan kegagalan menyudahkan peluang menyebabkan pasukannya terpaksa akur dengan kekalahan terbabit.

“Bahagian tengah juga agak longgar dan tidak beraksi seperti biasa. Percaturan saya menurunkan beberapa pemain Piala Presiden juga dilihat tidak begitu berkesan.

“Apapun, mereka tetap menunjukkan persembahan yang baik dan meskipun ada sedikit perubahan pada babak kedua, namun ia agak terlambat memandangkan PKNP FC sudah mendapat rentak dan berkelebihan apabila mendahului perlawanan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here