Semakan tarif elektrik Semenanjung seterusnya pada Januari 2018

0
21

KUALA LUMPUR: Semakan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia seterusnya adalah pada Januari 2018 selepas kerajaan bersetuju mengekalkan rebat tarif elektrik sebanyak 1.52 sen/kWJ di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air (KETTHA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, semakan kos pembekalan elektrik itu dilaksanakan Suruhanjaya Tenaga di bawah dasar semakan semula ke atas kos bahan api dan kos penjanaan lain (ICPT) pada setiap enam bulan sekali.

“Semakan terkini telah dibuat bagi tempoh Januari hingga Jun 2017.

“Tetapi, pada 30 Jun 2017, kerajaan telah bersetuju membelanjakan sebanyak RM1.303 bilion untuk menampung peningkatan kos bahan api dan penjanaan bekalan elektrik kepada Semenanjung bagi tempoh Julai hingga Disember tahun ini,” katanya dalam program temubual “Ruang Bicara” terbitan Bernama News Channel pada Rabu.

Turut serta dalam program itu ialah Naib Presiden (Perancangan dan Ekonomi Kawal Selia) TNB, Datuk Roslina Zainal.

Zaini berkata, perbelanjaan sebanyak RM1.303 bilion tersebut diterjemahkan pada kadar 2.54 sen/kWj, di mana 1.52 sen/kWJ digunakan untuk mengekalkan rebat tarif elektrik dan 1.02 sen/kWj digunakan untuk menampung surcaj kenaikan harga bahan api yang terus dibayar kepada penjana kuasa seperti Tenaga Nasional Bhd dan penjana bebas seperti Malakoff Corporation Bhd dan YTL Power Generation Sdn Bhd.

“Ini bermakna kerajaan telah mengadakan pelepasan caj yang sepatutnya dikenakan kepada pengguna. Bagaimanapun kami telah mengambil keputusan untuk mengekalkan rebat ICPT pada kadar 1.52 sen/kWj untuk memastikan pengguna dapat bekalan elekrik pada kadar tarif yang sama,” katanya.

Selain itu, Zaini berkata, semakan tentang tarif asas akan datang juga akan dilakukan pada Januari 2018.

“Pada ketika ini, tarif asas yang disemak setiap tiga tahun adalah pada kadar tetap, iaitu 38.53 sen/kWj,” katanya.

Tarif asas mengambil kira harga asas bahan api utama seperti gas berpaip, arang batu dan gas asli cecair.

Ia juga mengambil kira kos penyelenggaraan operasi dan pembangunan pihak utiliti, termasuk “Pulangan Ke Atas Aset Dikawal” dan ditetapkan oleh kerajaan untuk tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2014 hingga 31 Dissember 2017.

Penentuan tarif elektrik di Semenanjung dibuat mengikut kerangka Peraturan Berasaskan Insentif yang terdiri daripada dua komponen utama, iaitu ICPT dan tarif asas.

Tarif asas adalah untuk menampung semua kos berkaitan pembekalan elektrik kepada pengguna.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here