Semangat juara

0
69



Rembau: Larian Obor Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) mencipta kelainan tersendiri apabila dibawa naik dan turun Gunung Datuk di sini, semalam.

Pada pendakian bermula jam 8 pagi, seramai 500 peserta turut serta mendaki gunung setinggi 885 meter itu dan turun semula ke kaki bukit pada jam 2 petang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri Datuk Zaifulbahri Idris berkata, kelainan itu menunjukkan kesungguhan peserta yang sanggup mendaki Gunung Datuk sambil membawa obor.

“Ini membuktikan Malaysia bersungguh-sungguh dalam penganjuran dan mahu bergelar juara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata, sebaik tiba, obor dibawa dengan basikal menuju ke Masjid Bongek sebelum larian disambung ke Dewan Agora, Dataran Rembau jam 4.15 petang.

“Jarak keseluruhan obor dibawa mengelilingi daerah ini adalah 19 kilometer. Apa yang istimewa obor itu dibawa naik dan turun di Gunung Datuk,” kata Zaifulbahri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong itu.

Beliau berkata, peserta larian dan pendakian membabitkan semua peringkat usia yang menunjukkan semangat penganjuran Sukan SEA.

“Selain mempromosikan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN, larian itu pada masa sama memupuk semangat kesukanan buat penduduk setempat,” katanya.

Zaifulbahri kemudian menyerahkan obor kepada Ketua UMNO Bahagian Rasah Datuk Hasim Rusdi untuk dibawa mengelilingi Seremban hari ini.

“Larian obor di negeri ini bermula sejak semalam (kelmarin) hingga esok (hari ini) sebelum diserahkan kepada wakil Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Hadir sama ke program itu adalah wakil pengurusan Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Pengurus SME Telekom Malaysia Negeri Sembilan Khairul Anuwar Baharom.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Pemasaran Sukan TM Zarina Md Ismail berkata, TM sebagai penaja platinum Sukan SEA banyak mengatur aktiviti yang boleh mengumpulkan rakyat Malaysia bagi memberi sokongan kepada atlet negara bertanding pada temasya berkenaan.

Katanya, TM juga diiktiraf pasukan sorak rasmi atlet negara pada Anugerah Sukan Negara tahun lalu.

“Oleh itu pelbagai aktiviti diatur bagi mengumpulkan rakyat Malaysia untuk memberi sokongan berkaitan sukan,” katanya.

Sukan SEA ke-29 akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos manakala Sukan Para ASEAN, 17 hingga 23 September.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here