Semangat kental Maisarah Ukulele

0
43



Pada usia semuda 16 tahun, Maisarah Mohd Faizal berusaha menempatkan namanya dalam kelompok penyanyi di persada seni tempatan.

Menariknya, selain menyanyi Maisarah juga berkebolehan bermain ukulele dengan baik sekali gus dikenali dengan nama Maisarah Ukulele.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur ini sudah merakamkan dua single berkonsep pop berjudul Tak Mungkin Sendiri ciptaan Royce Sayan pada September 2015 dan Prasetia oleh Hazami, Februari lalu.

Maisarah berkata, minat dalam nyanyian bercambah sejak kecil, manakala ukulele mula dipelajarinya ketika berusia 13 tahun.

“Minat ini timbul apabila melihat ‘senior’ di sekolah bermain ukulele. Saya hanya belajar main ukulele menerusi YouTube dan bukan secara formal daripada mana-mana individu.

“Sebelum ini saya hanya boleh bermain piano sahaja. Bagaimanapun, saya masih mendalami permainan ukulele dan sedang mencari guru yang sesuai. Sebaik mahir dengan ukulele, saya nak belajar main gitar pula,” katanya.

Mengimbas pembabitannya dalam seni, Maisarah berterima kasih terhadap semua gurunya ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (SKTTDI) 1 dan SMK Taman Tun Dr Ismail yang banyak memberi perangsang terhadap minatnya dalam seni.

“Saya banyak diberi peluang membuat persembahan untuk program sekolah, aktiviti di luar kelas, program pertukaran pelajar antara Malaysia dan China serta pelbagai program lain.

“Selain itu, saya juga diundang menjayakan persembahan untuk program karnival, Hari Belia dan banyak lagi. Semua ini memberikan pendedahan dan pengalaman berguna buat saya,” katanya.

Maisarah yang mempunyai 22,000 pengikut di Instagram mahu mencontohi kejayaan penyanyi muda, Ismail Izzani yang berjaya mencipta nama menerusi lagu Sabar.

“Saya suka ambil perkara positif di sekeliling sebagai panduan. Keluarga juga berikan sokongan padu terhadap minat saya.

“Bagaimanapun, saya tak lupakan pelajaran dan meneruskan impian untuk menabur bakti sebagai guru Bahasa Inggeris. Saya bercadang melanjutkan pelajaran ke universiti dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here