Semangat Titans makin membara: Hasbullah

0
14



Kuala Terengganu: Kapten T-Team, Hasbullah Awang mengakui semangat rakan sepasukannya kian membara dalam misi untuk mengutip tiga mata bertemu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dalam aksi pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Menurutnya, kekalahan 2-4 di tangan Selangor Sabtu lalu akan dijadikan pengajaran berguna buat pemain untuk kembali bangkit memburu kemenangan.

Bagaimanapun kapten berusia 34 tahun itu mengingatkan dirinya serta rakan sepasukan supaya tidak terlalu yakin dan mendabik dada sebaliknya perlu berwaspada dengan ancaman lawan.

“Kami tahu PKNP pernah melakukan kejutan dengan menewaskan beberapa pasukan pilihan selain berjaya melangkah ke saingan Piala Malaysia buat kali pertama walaupun pendatang baru Liga Perdana.

“Justeru saya harap pemain perlu mengambil pengajaran dan berhati-hati dengan strategi yang akan diperagakan skuad lawan untuk mengelak diperangkap,” kata Hasbullah.

Mengulas lanjut, Hasbullah berkata, musim lalu T-Team berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia sebelum tumpas kepada Selangor dan tahun ini dia berharap kejayaan lebih manis dapat dicapai.

“Peringkat awal kami sasarkan untuk menjuarai Kumpulan A yang turut dihuni Pahang dan Negeri Sembilan, oleh itu kemenangan amat ditagih bertemu PKNP FC malam ini sekali gus akan memberi tonik kepada kami untuk aksi kedua bertemu Negeri Sembilan pada 7 Julai nanti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here