Semua universiti penyelidikan M'sia dalam kelompok 1% teratas dunia

0
255
Advertisement



Lima universiti awam Malaysia berstatus universiti penyelidikan tersenarai dalam kelompok satu peratus universiti teratas di dunia.

Lima universiti itu ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Unversiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) yang menunjukkan peningkatan dalam senarai ranking dunia bagi tahun 2017/2018 terbitan Quacquarelli Symonds (QS).

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dalam sidang media di sini hari ini berhubung pencapaian berkenaan berkata ia merupakan berita yang amat baik bagi landskap pendidikan tinggi negara terutamanya dalam meraikan 10 tahun inisiatif universiti penyelidikan bagi merangsang, membudayakan penyelidikan, penerbitan dan inovasi.

“Dari 26,000 universiti di seluruh dunia, universiti penyelidikan Malaysia kini pada tangga 260 teratas,” katanya.

Beliau berkata peningkatan terbaik dicatatkan oleh UPM yang melonjak 182 anak tangga dari kedudukan 411 di dunia pada 2013/2014 kepada 229 sekarang.

UKM pula mencatatkan peningkatan sebanyak 72 anak tangga dan berada pada kedudukan 230 berbanding 302 pada tahun 2016/2017, katanya.

USM pula mencatatkan peningkatan sebanyak 66 anak tangga dari 330 pada 2016/2017 kepada 253 bagi tahun 2017/2018 manakala UTM meningkat 102 anak tangga dari 355 pada 2013/2014 kepada 253 bagi tahun 2017/2018, katanya.

“Kementerian Pendidikan Tinggi yakin perancangan strategik digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 membolehkan sasaran untuk menempatkan universiti tempatan dalam ranking 100 terbaik dunia akan tercapai lebih awal dari jangkaan,” katanya.

Idris berkata antara 2007 dan 2016, universiti penyelidikan menjana lebih daripada RM6.18 bilion untuk negara dan ini merupakan 55.3 peratus pulangan pelaburan penyelidikan daripada pelaburan awal kerajaan iaitu RM3.98 bilion.

QS merupakan agensi penarafan universiti pertama dunia yang diiktiraf oleh The International Ranking Expert Group dan menjadi rujukan pihak berkepentingan seluruh dunia.

QS membuat penilaian berdasarkan enam petunjuk prestasi utama termasuk reputasi akademik dan nisbah pelajar:pensyarah. Sistem ranking QS turut menilai penyelidikan, pengajaran, kebolehpasaran dan pengantarabangsaan universiti.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here