Semut Merah perlu lebih tajam

0
226
Advertisement



‘KETAJAMAN’ dan ‘kelekaan’ menjadi kata kunci kepada PKNS FC untuk menebus kekalahan 1-2 kepada Selangor, Rabu lalu, apabila kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi di Stadium Shah Alam, malam esok.

Pemain serba boleh PKNS FC, Mahali Jasuli menegaskan, dua perkataan itu sangat penting untuk ditanam dalam minda setiap pemain skuad Semut Merah jika mahu melakar kemenangan.

“Kami kalah pada Rabu lalu kerana dua faktor. Pertamanya, penyerang tidak memiliki ketajaman di depan pintu gol, sehingga melepaskan beberapa peluang keemasan dan keduanya, kelekaan yang menyebabkan kami dibolosi.

“Inilah elemen yang perlu diberi perhatian apabila bertemu mereka lagi, esok. Kami perlu lebih tajam dan tidak leka. Jika dua kelemahan itu berjaya diatasi, kami berpeluang mengalahkan Selangor,” kata Mahali boleh beraksi di bahagian sayap atau bek kanan.

Mahali mengakui Selangor bukanlah pasukan yang mudah diperbudak-budakkan kerana skuad kendalian Nazliazmi Nasir itu semakin serasi.

Selain ancaman daripada penjaring terbanyak Liga Super, Rufino Segovia, Mahali menegaskan PKNS perlu berwaspada dengan kelicikan pemain Indonesia, Ilham Udin Armaiyn di bahagian sayap kiri.

“Dia (Ilham) mempunyai larian pantas serta bijak menggelecek sebelum membuat umpanan ke depan pintu gol. Tidak dinafikan kebanyakan gerakan serangan Selangor bermula daripada pemain itu.

“Amri (Yahyah) juga perlu diberi perhatian kerana dia bijak mengawal bahagian tengah serta membuat lorongan yang mampu menghasilkan gol.

“Sudah tentu Rufino adalah pemain yang paling berbahaya kepada kami kerana dia memiliki deria gol semula jadi, berada pada tempat dan waktu yang tepat untuk membuat jaringan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here