Semut Merah tak mudah kalah

0
186
Advertisement



KAPTEN FELDA United, Shukor Adan memuji rakan sepasukannya yang berjuang habis-habisan untuk memastikan kejuaraan Liga Perdana menjadi milik mereka musim ini.

Bekas pemain kebangsaan berusia 39 tahun itu berkata, walaupun mereka diletakkan sebagai pasukan pilihan namun saingan untuk menjadi juara bukan mudah berikutan tentangan hebat pasukan lain.

“Saya bagi pujian kepada pasukan yang berjuang dengan bersungguh-sungguh walaupun ada kalanya prestasi kami ada masanya turun dan naik namun akhirnya kami berjaya menjadi juara.

“Ada pemain dalam pasukan ini masih belum menang piala dan saya gembira untuk mereka… ia satu motivasi bagi kami menghadapi saingan Piala Malaysia yang mana kami sasarkan untuk layak ke perlawanan akhir,” katanya ditemui Sukan NSTP selepas sambutan kejuaraan Liga Perdana di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, dekat sini, malam tadi.

Trofi juara Liga Perdana disampaikan selepas perlawanan antara FELDA United dengan PDRM yang berkesudahan seri 2-2.

Dalam pada itu, Shukor menolak tanggapan segelintir pihak yang menganggap Liga Perdana sebagai kelas dua dan tidak sehebat Liga Super.

“Tiada istilah Liga Perdana sebagai kelas dua, ada sesetengah pasukan yang bermain dengan hebat dan kami perlu berusaha sebaik mungkin untuk memenangi setiap perlawanan.

“Kami tidak sangka pasukan seperti MIFA, FELCRA FC dan UKM FC mampu memberi saingan kuat.”

Selepas 19 perlawanan, FELDA yang dikendalikan B Sathianathan, mengumpul 42 mata dan akan melengkapkan jadual Liga Perdana menentang Pulau Pinang di tempat lawan, Jumaat ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here