Seoul mahu bina muzium wanita pendamping

0
82


KOREA Selatan berhasrat membina sebuah muzium bagi memperingati hamba seks zaman perang tentera Jepun. EPA

SEOUL: Korea Selatan berhasrat membina sebuah muzium bagi memperingati hamba seks zaman perang tentera Jepun, kata seorang menteri kerajaan hari ini, sekali lagi mencetuskan ketegangan dalam hubungan dua negara.

Nasib mangsa digelar ‘wanita pendamping’ yang dipaksa menjadi hamba seks untuk tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua adalah isu emosi amat besar yang menjejaskan hubungan antara sekutu Amerika Syarikat (AS) itu selama berdekad.

Sejarawan terkenal berkata, sehingga 200,000 wanita, kebanyakannya dari Korea dan bahagian lain di Asia termasuk China, dipaksa bekerja di rumah pelacuran tentera Jepun di seluruh rantau itu ketika konflik 1939 hingga 1945.

“Kami bercadang membina sebuah muzium ‘wanita pendamping’ di Seoul,” kata Menteri Kesamaan Jantina baharu Chung Hyun-Back di sebuah pusat perlindungan untuk kira-kira 38 mangsa yang terselamat.

‘Rumah Kongsi’ di sebuah kawasan terpencil di selatan ibu kota ini memiliki dewan peringatan namun Hyun-Back berkata, negara itu memerlukan sebuah muzium di ibu kota dengan capaian awam lebih baik.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan bila ia dibuka atau jenis bahan yang akan dipamerkan.

Namun ia kemungkinan memburukkan lagi hubungan antara Seoul dan Tokyo, dua sekutu AS yang mana kerjasama mereka diperlukan Washington ketika Presiden Donald Trump menangani ancaman daripada Pyongyang.

Jepun bertegas bahawa tiada bukti dokumen menyatakan wanita terbabit dipaksa bekerja di rumah pelacuran. -AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here