Seoul 'tersepit', mahu jaga hati AS atau berdamai dengan Pyongyang

0
102
Advertisement

KUALA LUMPUR: Korea Selatan kini tersepit antara mahu menjaga hubungan baik dengan Amerika Syarikat atau meneruskan usaha perdamaian dengan Korea Utara.

Menurut Geostrategis Azmi Hassan, Seoul kini dalam keadaan serba salah sama ada mahu berdamai dengan Pyongyang atau mahu menjaga hati Washington.

Jelasnya, tekanan yang diberi Amerika Syarikat selaku negara sekutu Korea Selatan perlu ditangani dengan cara terbaik jika Seoul mahukan perdamaian.

“Kalau kita lihat sekarang ini, Korea Selatan mahu mengadakan perdamaian dengan Korea Utara. Dan seboleh-bolehnya, Seoul dikatakan memberikan kepercayaan kepada Pyongyang, walaupun wujud kesangsian.

“Tetapi, pada masa sama, Washington bersama-sama dengan Tokyo menekan Seoul agar tidak terpedaya dengan diplomasi yang dibawa Korea Utara.

“Ini yang menimbulkan rasa serba salah Korea Selatan itu sendiri,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.

Tambah Azmi, terdapat satu faktor penyumbang lain yang mungkin menjejaskan isu semasa di semenanjung Korea ketika ini, iaitu faktor campur tangan China.

Katanya, sehingga kini belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan Beijing berhubung pendiriannya terhadap isu terbabit.

“Kalau kita ambil faktor Korea Utara, Korea Selatan dan Amerika Syarikat, mudah kita caturkan.

“Tetapi kalau kita letak China dalam percaturan itu, maka ia akan menjadi amat sukar kerana Beijing dilihat berdolak dalik ketika ini dan kita tidak tahu apa pendirian Beijing dalam hal itu,” jelasnya.

Mengulas kemungkinan Pyongyang akan akur untuk menandatangani perjanjian nuklear yang diusul Washington, Azmi berkata ia tidak akan dilakukan Pyongyang.

“Saya tidak nampak kenapa Korea Utara perlu menandatangani perjanjian tersebut, kerana Iran telah menerima tekanan begitu hebat walaupun selepas menandatangani perjanjian nuklear.

“Jadi, kalau kita ambil iktibar apa yang berlaku terhadap Iran, saya rasa Korea Utara akan tetap meneruskan program nuklearnya, kerana ia boleh bertahan dengan begitu baik sehingga hari ini,” terangnya.

Pada Sabtu, pemimpin Korea Utara Kim Jong Un melalui adiknya Kim Yo Jong menyampaikan jemputan kepada Presiden Korea Selatan Moon Jae-In untuk mengadakan perbincangan dan ia dijangka diadakan di Pyongyang.

Namun usaha damai yang tercetus pada temasya Sukan Olimpik Pyeongchang itu disambut hambar Amerika Syarikat.

Ini kerana, menurut Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence, tekanan ekonomi dan diplomasi ke atas Pyongyang perlu diteruskan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here