Serang awal pagi

0
104
Advertisement



Yala: Sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu sebuah rumah di daerah Bannang Sata malam semalam dan menembak mati lima mangsa, kata polis.

Bangkok Post melaporkan, serangan berlaku kira-kira jam 1 pagi (waktu tempatan) di rumah milik Ibroheng Museh, 32, di Tanohputeh.

Penyerang dilaporkan menggunakan senapang patah dan raifal M16.

Ibroheng ditemui mati bersama sepupunya, Ahmah Museh, 33, dan tiga jirannya iaitu Aranchai Doheh, 26, Usman Yusoh, 39, dan Furagon Laso, 25.

Semua mangsa maut ditembak di kepala dan pasukan penyiasat juga menemui lebih 12 kelongsong peluru di lokasi kejadian.

Menurut laporan, empat penyerang memakai topeng datang ke rumah itu menaiki dua motosikal. Dua daripada mereka yang membawa senapang patah dan raifal M-16 menghampiri mangsa sebelum melepaskan tembakan.

Semua mangsa dilaporkan sering berkumpul di rumah itu selepas berbuka puasa.

Jurucakap tentera, Thanawee Suwannarat berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu mungkin berpunca daripada konflik peribadi tetapi pihaknya tidak menolak unsur pemberontak.

Kejadian berkenaan adalah insiden terbaru di selatan Thailand yang menyaksikan keganasan meningkat di wilayah yang majoritinya penduduk Islam menjelang akhir Ramadan.

Pada Khamis lalu, empat sekeluarga yang beragama Islam ditemui dibunuh ketika mendulang emas di wilayah Narathiwat.

Sehari selepas itu, penyerang tidak dikenali menembak timbalan presiden satu jawatankuasa Islam di Yala ketika dia menuju ke masjid. Mangsa meninggal dunia dua hari kemudian.

Sehingga kini tiada tangkapan dibuat pihak berkuasa dan motif serangan juga tidak diketahui.

Jumlah keganasan ketika Ramadan tahun ini juga meningkat mendadak dan serangan lebih disasarkan kepada anggota keselamatan.

Agensi pemantau konflik di selatan Thailand memberitahu, sebanyak 110 keganasan dicatatkan pada Mei lalu berbanding 36 kes pada April lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here