Serang tentera Syria korban 7 penduduk

0
16


BEIRUT: Serangan udara kerajaan Syria ke atas dua wilayah dikuasai pemberontak berhampiran Damsyik, mengorbankan tujuh orang termasuk dua kanak-kanak semalam.

Menurut kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), beribu pejabat di Britain, lima kematian termasuk kanak-kanak, dalam serangan ke atas wilayah Ain Terma di daerah Ghouta Timur, kawasan pemberontak terbesar sekitar Damsyik.

Dua lagi kematian di Zamalka, yang berjiran dengan Ain Terma.

SOHR berkata, pesawat tempur melancarkan kira-kira 20 serangan udara ke atas kedua-dua kawasan itu semalam.

Serangan juga mencederakan sekurang-kurangnya 15 lagi, kebanyakannya mengalami kecederaan serius, kata pertubuhan itu.

Sejak beberapa minggu ini, tentera kerajaan kerap mengebom Ain Terma, yang menghubungkan Ghouta Timur dengan kawasan kejiranan Jobar yang ditawan pemberontak di Damsyik.

Mereka melancarkan operasi tentera bertujuan memutuskan hubungan Jobar dengan Ghouta Timur, menjadikan ia terasing.

Ghouta Timur adalah antara kawasan yang termasuk dalam pelan gencatan senjata yang dipersetujui Mei lalu oleh sekutu rejim, Russia dan Iran, dan penyokong pemberontak, Turki.

AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here