Serangan berterusan

0
46



Marawi: Mayat dipercayai orang awam yang dibunuh ditemui di dalam gaung di luar bandar yang terkepung ini ketika tentera meningkatkan usaha untuk mengusir kumpulan militan yang menduduki bandar berkenaan sejak enam hari lalu.

Jurucakap tentera, Brigadier Jeneral Restituto Padilla berkata, antara yang mati itu termasuk empat lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak.

Mayat mereka ditemui berhampiran jalan menghala ke Universiti Negeri Mindanao.

Polis berkata, lapan lelaki lain juga ditembak mati dan mayat mereka di campakkan ke dalam gaung di sebuah kampung di bandar itu.

Kebanyakannya ditembak di kepala dan sebahagian dengan tangan digari ke belakang.

Di atas satu mayat berkenaan ada tanda tertulis perkataan ‘Munafik.’

Penemuan itu mengesahkan khabar angin bahawa militan Maute menculik orang awam ketika mereka menawan bandar Marawi. Tentera Filipina berkata, mereka percaya tindakan anggota Maute itu bertujuan mendapatkan pengiktirafan Daish untuk menjadikan ia sekutunya di Asia Tenggara.

Sehingga semalam, sekurang-kurangnya 41 militan dan 13 askar terbunuh. Jumlah kematian dalam kalangan orang awam tidak diketahui.

Dalam pada itu, pegawai kanan polis Marawi, Jamail C Mangadang berkata, lapan lelaki yang ditemui mati semalam ialah tukang kayu yang melarikan diri dari bandar itu.

Memetik kata-kata pengurus mereka, Mangadang berkata, mangsa dipaksa turun dari trak dan ditembak selepas gagal membaca surah daripada al-Quran.

Sementara itu, tentera meningkatkan serangan terhadap anggota Maute semalam, termasuk membedil kedudukan kumpulan itu dengan lapan roket dari helikopter.

Puluhan ribu penduduk melarikan diri dari bandar itu sejak Selasa lalu apabila anggota kumpulan berkenaan mengganas dan menawan sekolah, hospital dan sebuah gereja.

Lebih 100 banduan juga dibebaskan selepas kumpulan militan berkenaan menyerang dan menguasai dua penjara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here