Serangan Manchester, 10 masih ditahan

0
59


PENDUDUK tempatan meletakkan bunga sebagai ucapan takziah kepada mangsa serangan di Manchester. – Foto REUTERS

LONDON: Seramai 11 orang ditahan di Britain dan Libya susulan serangan pengebom nekad kelahiran Libya dalam konsert pop di Manchester Isnin lalu, namun seorang daripadanya sudah dibebaskan.

Suspek wanita yang ditahan polis semalam dibebaskan beberapa jam kemudian tanpa didakwa.

Setakat ini, 10 lelaki masih ditahan termasuk bapa suspek, Salman Abedi dan saudara lelakinya di Libya.

Abedi dilaporkan kembali dari Libya beberapa hari sebelum serangan yang membunuh 22 orang termasuk beberapa kanak-kanak namun polis cuba menjejaki pergerakannya serta kaitannya dengan rangkaian lebih meluas.

Kelmarin, seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan polis bertopeng di Chorlton, selatan Manchester berhampiran kawasan dipercayai Abedi tinggal. Media British mendakwa, lelaki terbabit kemungkinan abang Abedi, Ismael.

Semalam, polis menahan tiga lagi lelaki di selatan Manchester, tidak jauh dari rumah Abedi tinggal.

Seorang jiran yang tinggal di hadapan rumah yang diserbu, Omar Alfaqhuri berkata, dia menyaksikan sejumlah besar anggota polis ketika serbuan waktu malam dan lelaki dikenali ‘Adel’ ditahan.

Polis berkata, seorang lelaki membawa bungkusan mencurigakan ditahan di Wigan, bandar berhampiran Manchester, manakala lelaki lain ditahan di Nuneaton, tengah England.

Pasukan Pencegahan Libya yang bertindak sebagai polis kerajaan di Tripoli menahan bapa Abedi, Ramadan, mengatakan mereka sudah menahan saudara lelakinya, Hashem kelmarin.

Seorang jurucakap berkata, saudara lelaki itu sedar mengenai rancangan serangan oleh Abedi dan kedua-duanya menganggotai militan Daesh, yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan.

Di Manchester, seorang wanita ditahan di sebuah blok pangsapuri di Blackley, kawasan di utara pusat bandar oleh polis bersenjata, bagaimanapun dibebaskan tanpa didakwa.

Hari ini, polis menahan seorang lelaki di Withington, pinggir selatan Manchester manakala seorang lagi di Manchester, tanpa memberi butiran lanjut. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here