Seronok panjat batu

0
59



Sakit otot atau kebas di bahagian bahu dan tangan adalah perkara biasa, malah tidak melemahkan semangat seorang penuntut Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya ini untuk menceburi sukan ekstrem memanjat batu walaupun mengalami sedikit gangguan akibat kecederaan tangan kiri yang dihadapinya sejak kecil.

Meskipun bertubuh kecil, anak muda ini berjaya memanjat beberapa puncak gua dan bukit di dalam negara antaranya Batu Caves (Dinding Nyamuk), Bukit Keteri, Perlis, Bukit Takun, Rawang, Gua Musang, Kelantan dan Batu Kurau di Terengganu.

Dia yang mempunyai pengalaman lebih tiga tahun dalam sukan memanjat batu ini juga memanjat tembok batu di Australia antaranya di Mine Quarries, Armadale Boulder dan Candy Land manakala di Thailand pula, dia memanjat gua batu kapur di Tonsai dan Railay.

Penuntut tahun tiga jurusan perakaunan, Ku Muhamad Faridhwan Ku Aziz, 23, berkata, minatnya terhadap aktiviti memanjat tembok batu ini bermula sejak mengikuti program diploma apabila dia mula bergiat aktif mengikuti kelab luar iaitu Outrecs Outdoor Recreational Society untuk ekspedisi memanjat batu di Bukit Takun, Rawang bersama rakan.

“Pada mulanya saya hanya ingin mencuba sukan ekstrem itu atas pelawaan rakan walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam aktiviti memanjat batu ini.

“Dari situ, saya mulai belajar cara memanjat batu dengan cuba memanjat tembok batu tiruan dan selepas itu saya mulai seronok dan berminat untuk meneruskan sukan ekstrem ini,” katanya.

Ku Muhamad Faridhwan anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, pada mulanya dia menghadapi sedikit kesukaran untuk memanjat tembok batu tiruan itu disebabkan kecederaan di tangan kiri yang memberi sedikit gangguan kepadanya untuk memanjat tembok batu hingga kini.

“Disebabkan kecederaan itu, saya menghadapi kesukaran dan terpaksa membuat pergerakan atau gaya yang pelik untuk memanjat tembok batu tiruan,” jelasnya.

Menyedari perkara itu, dia membuat keputusan mengikuti latihan dikendalikan jurulatih bertauliah lima kali seminggu untuk membina ketahanan fizikal dan mental setiap kali mahu mengikuti aktiviti ini.

Ditanya mengenai perancangan di masa hadapan, Ku Muhamad Faridhwan menyimpan cita-cita untuk menyertai kejohanan sukan memanjat tembok batu di peringkat antarabangsa seperti Sukan Asia, Sukan Piala Dunia dan Sukan Olimpik.

Di samping itu, dia turut menyarankan mahasiswa di luar sana supaya menceburi apa sahaja bidang sukan digemari. Pada masa sama mereka perlu bijak menguruskan masa dengan baik dan tidak mengabaikan pelajaran semata-mata untuk bersukan.

SHARE
Previous articleTawaran tunai haji
Next articleLetupan dari stor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here