Serpihan dipercayai milik MH370 ditemui

0
45


VICTORIA: Pihak berkuasa Seychelles melaporkan penemuan dua serpihan disyaki milik pesawat MH370 yang hilang pada 2014 bersama 239 penumpang dan anak kapal.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Seychelles (SCAA) berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia.

SCAA berkata, serpihan itu ditemui terdampar di Farqhar oleh saintis yang menjalankan penyelidikan mengenai burung dan penyu.

Farqhar adalah antara pulau yang membentuk negara tropika di Lautan Hindi itu.

“Arah arus laut menunjukkan kemungkinan serpihan itu berasal dari lokasi lain yang dilaporkan turut menemui kepingan pesawat berkenaan di beberapa negara Lautan Hindi,” kata pegawai kanan SCAA tanpa mendedahkan namanya.

Jurucakap agensi pentadbir semua kepulauan di Seychelles, Michael Payet, berkata serpihan terbesar daripada kedua-dua objek itu adalah sepanjang 120 sentimeter dan 30 sentimeter lebar, dipercayai diperbuat daripada aluminium dan gentian karbon.

“Ia mungkin sebahagian daripada penutup enjin. SCAA berhubung dengan pihak berkuasa di Malaysia yang menyatakan minat untuk bekerjasama,” kata pihak berkuasa penerbangan itu dalam satu kenyataan.

Sejumlah serpihan dipercayai milik pesawat penumpang Boeing 777 itu ditemui, selepas lebih tiga tahun usaha pencarian dijalankan.

Pesawat yang membawa 239 penumpang dan kru itu hilang pada 8 Mac 2014 sebaik berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing. – Reuters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here