Sertu rumah setiap hari angkara babi

0
8



Klang: Kehadiran sekumpulan babi hutan yang berkeliaran dan merosakkan tanaman sejak kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan kepada penduduk Jalan Durian, Kampung Meru, di sini.

Selain tmenghidu bau busuk najis haiwan liar itu, mereka perlu menyertu kawasan halaman rumah hampir setiap hari.

Lebih membimbangkan, babi itu turut berkeliaran di sekitar Surau Darul Makmur berhampiran kampung berkenaan.

Penduduk, Che Ahmad Che Abdullah, 65, berkata, ancaman haiwan itu bermula sejak awal Ramadan lalu dan berlarutan sehingga kini.

“Kebiasaannya, babi berkenaan datang sekumpulan sehingga tujuh ekor pada awal pagi dan petang.

“Kehadiran haiwan itu bukan saja merosakkan tanaman, malah membahayakan keselamatan kanak-kanak,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, haiwan itu turut berkeliaran di sekitar surau yang menjadi lokasi penduduk beribadat.

“Walaupun surau ditutup, kami bimbang dan sentiasa berhati-hati dengan kehadiran babi berkenaan.

“Selain itu, ia pernah makan anak kucing saya dan penduduk lain,” katanya.

Kata Che Ahmad, aduan dibuat kepada pihak berkaitan namun tiada tindakan diambil sehingga memaksa penduduk mengupah individu menembak babi berkenaan.

Bagi Talib Mohamad, 75, penduduk menahan bau busuk najis haiwan itu setiap hari sehingga menimbulkan rasa jijik dan tidak selesa.

“Keadaan lebih teruk ketika Aidilfitri baru-baru ini apabila saudara mara berkunjung untuk beraya. Kami perlu sentiasa mencuci dan menyertu halaman rumah,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor berkata, pihaknya meneliti semua aduan penduduk berkenaan sebelum mengambil tindakan lanjut dalam tempoh terdekat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here