Shahrel tenang buru gol di Thailand

0
451
Advertisement



EMPAT perlawanan tanpa sebarang gol sejak beraksi bersama Nakhon Ratchasima dalam Liga Divisyen Satu Thailand tidak menggusarkan Shahrel Fikri Md Fauzi kerana percaya dia tetap memainkan peranan dalam dua kemenangan dan dua keputusan seri dicapai pasukan itu.

Shahrel yang dipinjamkan PKNP FC kepada kelab Thailand itu selama lima bulan berkata, dia kini masih dalam peringkat mencari keserasian bersama rakan sepasukan serta corak bola sepak negara berkenaan yang sedikit berbeza dengan Malaysia.

Dalam empat perlawanan itu, Nakhon Ratchasima mengalahkan Ratchaburi FC 2-1 dan Chainat Hornbill 1-0 serta seri dengan Sukhothai (1-1) dan Muangthong United (0-0) untuk meletak kelab yang berpangkalan di Korat itu di tangga ketujuh daripada 18 pasukan.

“Secara keseluruhan saya belum berpuas hati dengan prestasi sendiri. Saya yakin mampu lakukan lebih baik daripada itu. Namun, situasi itu tidak merisaukan saya kerana ini baru permulaan karier saya di sini.

“Buat masa ini, saya masih dalam peringkat menyesuaikan diri dengan pasukan serta corak permainan liga Thailand. Di sini berbeza dengan liga kita, mereka mengamalkan corak permainan pantas.

“Saya gembira, pengurusan, jurulatih, rakan sepasukan dan penyokong banyak memberi sokongan menyebabkan saya berasa selesa bersama kelab itu,” kata Shahrel yang ditemu bual melalui WhatsApp.

Shahrel bertekad memanfaatkan tempoh lima bulan bersama Nakhon Ratchasima untuk memanjangkan hayat kariernya di negara Gajah Putih itu.

“Walaupun status saya hanya pemain pinjaman namun inilah peluang terbaik untuk saya membuktikan kemampuan. Saya anggap ini adalah permulaan untuk saya melangkah lebih jauh.

“Kalau boleh, saya mahu kekal bermain dalam liga Thailand selepas tempoh pinjaman berakhir. Saya yakin PKNP tidak mempunyai masalah untuk memberi ‘lampu hijau’ kerana mereka sangat memahami,” kata pemain berusia 23 tahun itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here