Shahrukh sumbang perak Remaja Dunia

0
447
Advertisement



PEMAIN bowling negara, Shahrukh Amin Zulkifli menutup kempen Malaysia pada Kejohanan Remaja Dunia di Detroit, Amerika Syarikat dengan memenangi pingat perak apabila menamatkan saingan Masters lelaki di tangga kedua, semalam.

Pemain dari Pahang berusia 18 tahun itu terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila tewas 216-244, 198-247 kepada pemain tuan rumah pada final di Thunderbowl Lanes, Detroit.

Malaysia turut memenangi satu pingat gangsa pada hari terakhir kejohanan menerusi juara remaja dunia wanita, Nur Shazwani Sahar, yang tewas 207-245, 241-246 di tangan juara dari Korea Selatan, Lee Jung Min pada separuh akhir Masters wanita.

“Shahrukh Amin beraksi dengan amat baik pada penampilan pertamanya dan ia cukup bagus buat pasukan Malaysia,” kata pengurus  Maradona Chok ketika dihubungi.

“Gemuruh menjadi halangan terhadap persembahannya tapi dia cukup menakjubkan ketika Masters. Saya amat gembira untuknya. Secara keseluruhan, Malaysia memenangi satu emas, satu perak dan dua gangsa tetapi ia gagal mengatasi pencapaian dua tahun lalu di Nebraska, AS apabila pulang dengan satu emas, dua perak dan tiga gangsa.

“Saya amat bangga dengan pasukan ini kerana mereka sentiasa memberi semangat kepada satu sama lain tidak kira ketika susah atau senang dan mereka tidak pernah sesekali berputus asa,” kata Maradona.

“Tiada apa yang boleh saya minta daripada pasukan yang sudah memberikan segala-galanya. Saya bangga menjadi sebahagian daripada pasukan ini.

“Sukar dibayangkan, jika mereka tidak bersatu dan memberi semangat sesama sendiri, kami tidak akan dapat bangkit daripada dua hari pertama kejohanan. Tekanan amat tinggi buat pemain ini.

“Saya harap Malaysia dapat melihat apa yang atlet kami lalui untuk memenangi pingat ini. Usaha, tekanan… ia benar-benar menakjubkan untuk melihat mereka menjulang kejayaan,” kata Maradona.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here