Shiha yakini keputusan

0
38



Keputusan penyanyi Shiha Zikir, 30, menguruskan sendiri karier seninya selepas menamatkan kontrak dengan Wake The Baby beberapa bulan lalu bukan langkah mudah.

Namun, pemilik lagu Seperti Novel Cinta ini yakin dengan keputusannya dan berpendapat langkah itu akan membuatkan dia bekerja lebih keras.

“Saya lebih selesa menguruskan karier sendiri kerana tidak perlu menuding jari terhadap pihak lain sekiranya tiada projek atau promosi lagu gagal,” katanya.

Penyanyi itu memberitahu sudah tiga bulan bergerak sendirian dan tidak sabar melihat hasilnya nanti.

“Dalam situasi ini, apabila lagu menjadi popular atau kurang mendapat sambutan semuanya bergantung pada usaha sendiri. Jadi, saya yakin dengan keputusan ini,” katanya.

Menurut Shiha, dia merancang mengeluarkan single baru selepas dua tahun tidak muncul dengan produk baru serta lagu khas bagi pendengar di Indonesia.

“Saya sudah berbincang dengan syarikat rakaman di Indonesia namun belum ada kata putus kerana perlu meneliti betul-betul kontrak.

“Memang teruja untuk menghadiahkan lagu khas bagi peminat di sana, namun saya perlu berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan. Jadi proses ini akan mengambil masa,” jelasnya,

Menyedari muzik dangdut menerima sambutan hangat di Indonesia, Shiha mahu menghasilkan lagu bersesuaian dengannya dan menyelitkan elemen genre itu.

“Saya bukan penyanyi dangdut, jadi tidak mahu merosakkan genre itu. Mungkin saya akan mengeluarkan lagu rancak yang ada elemen dangdut. Doakan yang terbaik untuk karier saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shiha memberitahu Ramadan ini dia tidak mengambil tempahan kuih makmur sebaliknya mempromosikan kanta lekap jenama sendiri, Shiha Lens.

“Tahun ini tidak jual kuih atas permintaan ibu kerana mahu berehat. Jadi, saya fikir ini masa sesuai untuk fokus dalam perniagaan selepas setahun menjual kanta lekap,” katanya.

Menurut bekas peserta Mentor musim kelima ini, minatnya memakai kanta lekap berwarna menggerakkan dia untuk menjual produk itu.

“Selain kanta lekap, saya juga merancang mengeluarkan produk kosmetik dan pakaian,” katanya.

SHARE
Previous articleSumbangan baju raya
Next articleDetik cemas Syazwan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here